Tidak sabar nak tengok Stadium Shah Alam baharu - Utusan Malaysia

Tidak sabar nak tengok Stadium Shah Alam baharu

JANGAN dilupa perihal kelestarian alam sekitar jika Stadium Shah Alam dan kawasan sekitarnya dibangunkan semula. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini terdapat laporan berita bahawa Stadium Shah Alam akan berwajah baharu apabila bakal dibangunkan semula menerusi kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) membabitkan kos keseluruhan dianggarkan RM787 juta.

Langkah menambah baik atau pembinaan semula merupakan satu tindakan yang nampak wajar dilakukan dan amat dialu-alukan oleh warga Shah Alam seperti saya.

Bayangkan manfaatnya untuk masa depan termasuk buat anak dan cucu saya sendiri. Saya amat menantikan wajah baharu stadium ini dan harapnya akan menjadi kebanggaan kita, warga Selangor khususnya penduduk Shah Alam.

Saya ada juga terfikir tentang kos pembiayaannya kerana takkan wang cukai rakyat nak digunakan ketika kita sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat ini? Namun, lega rasanya apabila mendapat tahu bahawa kos akan dibiayai oleh pemaju melalui usaha sama awam-swasta.

Mungkin kerajaan negeri juga boleh pertimbangkan untuk mengintegrasikan pembangunan stadium dengan elemen lain seperti perumahan, pejabat dan komersial supaya mampu segera merancakkan ekonomi di kawasan kompleks tersebut dan menjadikan projek ini lestari dari segi kewangan pada masa hadapan.

Sebagai penduduk Shah Alam, saya menantikan perubahan positif terhadap stadium ini dan ingin juga melihat ia dapat memainkan peranan untuk menyumbang kepada kemajuan sukan negeri mahupun negara menjadi lebih cemerlang.

Lebih-lebih lagi kawasan riadah kami nanti diharapkan jadi lebih moden dan canggih dengan kemudahan dan ciri-ciri keselamatan lebih baik.

Jangan dilupa juga perihal kelestarian alam sekitar jika stadium dan kawasan sekitarnya dibangunkan semula. Saya juga percaya apa yang kita akan peroleh nanti pasti jauh lebih baik.

Jadi, usahlah kita beradu dalam nostalgia lama, lebih baik kita pandang ke hadapan dan beri sokongan untuk dibangunkan kembali stadium ini demi kebaikan semua. – UTUSAN

AHMAD SHAZLI RAMLI, Seksyen 2, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya