fbpx

Rakyat Malaysia bahagia berdepan situasi hari ini

RAKYAT Malaysia masih mampu menyesuaikan diri dalam situasi hari ini dan mereka dilaporkan berada dalam kategori baik atau bahagia.

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin buat pertama kali mengemukakan hasil kajian yang agak komprehensif mengenai Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia. Ia mendapat liputan meluas dalam semua akhbar harian tetapi kurang diberi perhatian oleh para pengulas, apa lagi oleh pengamal media sosial. Ini kerana rata-rata mereka lebih tertumpu kepada persoalan kenaikan harga barang keperluan asas, Akta Anti Lompat Parti, cadangan Pindaan Perlembagaan UMNO mahupun isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Saya berpendapat laporan tersebut adalah sesuatu yang sepatutnya mendapat perhatian umum dan tidak dipandang ringan. Ia tidak mendapat perhatian umum mungkin kerana kotak pemikiran masyarakat kita sedang dibelenggu persoalan masalah semasa dihadapi sehingga apabila ada sesuatu kebaikan mengenai negara, ia dengan mudah diketepikan.

Senario sama ditimbulkan oleh Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi sebuah rencana dalam media sosial menyanggah beberapa persepsi buruk tentang negara yang dikatakan semakin jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia.

Sebaliknya apa yang diperoleh Noor Azlan dari data-data rasmi dan terkini berkaitan tentang enam perkara pokok seperti Indeks Daya Saing Dunia, Indeks Inovatif Global, Indeks Kerumitan, Indeks Keselamatan Makanan Dunia, Indeks Persepsi Rasuah Dunia dan Skor PiSA OECD tentang tabiat membaca, matematik, dan sains, kesemuanya menunjukkan kita berada di tangga atau ranking lebih baik dan tinggi berbanding Indonesia.

Ada kemungkinan usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak tertentu untuk menonjolkan imej dan persepsi buruk tentang negara kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah semakin hampir? Dan strategi para tentera siber ini adalah untuk menurunkan ke paras serendah mungkin keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah yang sedang berkuasa. Dalam lain perkataan, ia bermotifkan politik.

Sebenarnya perangkaan yang dikeluarkan itu sebagai petanda bahawa Keluarga Malaysia mempunyai sifat ketahanan yang tinggi walaupun dilanda wabak Covid-19 serta krisis ekonomi yang agak berpanjangan hingga kini.-UTUSAN

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!