SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin membei respons terhadap tulisan Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azman Mohd. Hashim pada 13 Ogos lalu yang menyatakan motif Gerakan Tanah Air (GTA) ditubuhkan adalah untuk menolak pemimpin sebuah parti politik orang Melayu yang terpalit dengan skandal dan salah laku rasuah.
Apa yang menimbulkan tanda tanya sebilangan rakyat di luar sana ialah gerakan tersebut sebenarnya salah satu strategi licik Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggagalkan sebuah parti lain yang lebih dominan berbanding Pejuang yang tiada ahli peringkat akar umbi baik cawangan atau bahagian di seluruh negara. Keadaan itu sama seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terpaksa menumpang pengaruh Pas.
Ada sedikit kemusykilan dan tanda tanya, mengapakah GTA diwujudkan dan dijadikan sebagai parti politik yang di dalamnya turut disertai Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)?
Secara tidak langsung, GTA memberi satu identiti baharu kepada Pejuang atau ia seolah-olah seperti mahu menjenamakan semula sama seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dipercayai bernaung di bawah Pejuang.
Justeru, alasan yang dinyatakan saudara Azman hanyalah bersifat retorik semata-mata dan tidak lebih daripada itu atau mungkinkah terdapat motif lain yang cuba diselindungkan di sebalik penubuhan GTAt? Persoalannya mengapakah sekarang? -UTUSAN
TOK WALI SONGEI
Bayan Mutiara, Pulau Pinang










