Kita perlu sokong penuh RUU GEG

Kita perlu sokong penuh RUU GEG

SEBELUM ini syarikat global, komuniti biasa dan usahawan meminta kerajaan mengkaji semula GEG dan memperincikan lagi RUU Kawalan Tembakau dan Merokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RANG undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) dibentangkan di Parlimen pada 27 Julai lalu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan membabitkan golongan individu yang lahir selepas 1 Jan 2007 dan dijangkakan berkuat kuasa 2025 jika diluluskan.

Berdasarkan RUU itu, individu lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM500 jika disabit kesalahan. Selain denda dalam bentuk wang, RUU ini akan menambah khidmat komuniti sebagai pilihan denda.

RUU ini juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Malaysia dan New Zealand adalah dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke Parlimen masing-masing setakat ini. Seyogia kita sebagai rakyat Malaysia perlu menyokong dan memandang berat perkara ini kerana berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dijalankan sejak 1986, 1996, 2015 dan 2019 menunjukkan penurunan peratusan merokok yang tidak signifikan dan ini amat merisaukan.

Didapati di negara ini, dianggarkan seramai lima juta orang berumur 15 tahun dan ke atas merokok. Kajian mendapati merokok menjadi punca utama kematian pramatang dan membunuh lebih lapan juta orang setahun di seluruh dunia, manakala di Malaysia dianggarkan 20,000 kematian akibat merokok berlaku setiap tahun.

Hasil kajian juga menunjukkan tabiat merokok adalah salah satu punca kepada penyakit kanser paru-paru, kanser tekak dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan pernafasan kronik. Bukan sahaja berisiko kepada perokok, malah individu lain yang menjadi ‘perokok pasif’ juga berpotensi tinggi berisiko. Perokok pasif adalah mereka yang tidak merokok tetapi menghidu atau menyedut asap rokok dihasilkan oleh perokok aktif.

Selain menjadi punca penyebab masalah kesihatan yang serius, tabiat merokok sering dikaitkan dengan permasalahan sosial lain seperti ketagihan dadah dan arak, mencuri dan sebagainya.

Selain itu, kewujudan alternatif seperti rokok elektronik atau vape menyebabkan tabiat merokok dilihat sebagai satu trend yang menarik dalam kalangan generasi muda. Inovasi dalam rokok elektronik dan vape seperti terdapatnya pilihan dari segi kepelbagaian perisa dan kepulan asap yang berbau wangi menarik minat remaja, lelaki mahupun perempuan untuk mencuba.

Selama beberapa dekad lalu, kerajaan berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mendepani permasalahan merokok. Kempen Tak Nak Merokok, perkhidmatan klinik berhenti merokok, kawasan bebas merokok, amaran bergambar di kotak rokok, kempen Speak Out dan polisi-polisi tertentu seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 merupakan antara inisiatif dalam usaha kerajaan memerangi masalah merokok.

Namun begitu, usaha ini dilihat tidak cukup untuk mendepani permasalahan yang ditimbulkan disebabkan oleh merokok. Kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok.

Di Malaysia, larangan penuh penjualan rokok elektronik dan vape dicadangkan ke atas golongan GEG bertujuan menurunkan peratusan merokok sehingga mencapai sasaran kurang lima peratus daripada keseluruhan populasi menjelang 2040 berbanding kira-kira 21 peratus ketika ini. Dianggarkan dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU GEG ini diluluskan.

Ini kerana remaja merupakan golongan yang mudah terdedah dengan tingkah laku berisiko merokok dan ini disokong berdasarkan hasil tinjauan pada 2017 yang mendapati 13.8 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun adalah perokok.

Justeru, RUU GEG ini dilihat sebagai prakarsa tepat di mana kerajaan mendepani masa dalam usaha menamatkan tingkah laku berisiko dan memberikan perlindungan kepada generasi baharu.-UTUSAN

DR. K. MANIMARAN
Presiden Persatuan Promosi Kesihatan Malaysia (MAHEO)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya