Kenapa tidak ikut kerakyatan bapa? - Utusan Malaysia

Kenapa tidak ikut kerakyatan bapa?

APAKAH gunanya perjuangan Mat Kilau (duduk) untuk melawan penjajah Inggeris jika kerakyatan Malaysia senang-senang diberikan kepada lelaki warganegara asing? – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun memberi jaminan akan membela tuntutan wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing di luar negara mendapat status kewarganegaraan secara automatik buat anak pasangan itu.

Beliau melihat ada keperluan supaya advokasi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dilakukan secara lebih agresif supaya ibu terbabit mendapat hak setara dengan bapa rakyat Malaysia dalam hal kewarganegaraan anak.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Ini selaras dengan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan merujuk hanya kepada bapa serta tidak termasuk ibu dan ini bermakna ia menghalang ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mewariskan status kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan beberapa pihak agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memuaskan hati wanita-wanita terbabit.

Langkah memberikan kewarganegaraan automatik mengikut status kewarganegaraan ibu hanya akan merampas hak bapa untuk memberikan kerakyatan kepada anak-anak mereka.

Dalam isu hak suami warganegara asing, persoalan ini harus dijawab oleh Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing yang membawa kes ini ke mahkamah.

TIDAK ADIL

Langkah memberikan kerakyatan Malaysia kepada kanak-kanak terbabit hanya akan memisahkan anak-anak dengan bapa mereka. Selain itu, bukan menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak lelaki asing sama ada warganegara China, United Kingdom (UK), Australia atau India.

Bapa juga memiliki hak ke atas anak-anak dan mahkamah tidak boleh memisahkan anak-anak daripada ayah mereka kononnya demi kepentingan ibu.

Satu lagi persoalan harus dijawab, jika ibu dan anak adalah rakyat Malaysia, bagaimana pula status kerakyatan bapa mereka? Adakah langkah ini akan dijadikan alasan supaya bapa turut diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik?

Jika ini berlaku, ia adalah sesuatu yang tidak adil kerana kebanyakan lelaki terbabit tidak akan menetap atau membayar cukai di Malaysia tetapi mereka mendapat hak untuk mengundi dan menentukan kerajaan baharu dari jauh.

Sebagai pemegang MyKad, mereka juga layak mendapat pelbagai subsidi dan bantuan lain yang diberikan kerajaan.

Mereka mendapat segala kemudahan ini sedangkan kita masih ragu, adakah mereka setia dengan raja-raja Melayu dan fasih berbahasa Melayu?

Apa gunanya perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau untuk melawan penjajah Inggeris jika kerakyatan Malaysia senang-senang diberikan kepada lelaki warganegara asing termasuk dari UK? – UTUSAN

PEJUANG HAK BAPA, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya