fbpx

Kecewa bekas kuarters TUDM ditinggal usang

PANGKALAN Udara Kuala Lumpur mempunyai banyak peninggalan sejarah yang penting.

SAUDARA PENGARANG,

PADA Mac 2018, selepas hampir 77 tahun beroperasi, Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1941 secara rasminya telah dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.

Perpindahan dan penempatan semula ini selaras usaha modenisasi dan menaik taraf fasiliti TUDM berdasarkan keperluan masa kini.

Berdasarkan sejarah, lapangan terbang dengan kemudahan landasan sepanjang 273 meter itu awalnya ditubuhkan oleh British pada 1930. Malah, ketika penaklukan Jepun pada 1942, pangkalan itu berfungsi sebagai pusat pertahanan tentera Inggeris.

Sebagai pangkalan udara yang pertama di negara ini, ia mempunyai banyak peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara dan ia juga pernah menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Isu yang ingin saya bangkitkan tentang nasib kuarters TUDM Sungai Besi yang ditinggalkan sejak pangkalan udara itu berpindah ke Sendayan.

Alangkah sedih kerana berlaku pembaziran disebabkan kuarters yang mempunyai empat blok dengan kemudahan dewan yang masih cantik (terletak di pintu masuk) sudah dipenuhi pokok liar terbiar begitu sahaja.

Sungguh menyedihkan, walhal pihak berwajib boleh menjadikan kuarters lama ini sebagai asrama/penginapan warga Kuala Lumpur yang tidak mempunyai rumah dan sebagainya.

Saya lihat kuarters yang tidak berpenghuni secara tidak langsung menjejaskan masjid TUDM yang terletak bersebelahannya yang juga suram dan tidak terurus dengan sempurna.

Mungkin orang ramai tidak nampak kerana ia terletak agak jauh sedikit dari jalan utama iaitu Jalan Istana.

Ini hasil pemerhatian saya sewaktu singgah untuk menunaikan solat di masjid tersebut. Semoga isu yang saya bangkitkan mendapat perhatian semua pihak. – UTUSAN

SHABUDDIN YAACOB, Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!