Jangan pertikai kredibiliti institusi kehakiman - Utusan Malaysia

Jangan pertikai kredibiliti institusi kehakiman

SEPERTI yang dijangka, keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pelbagai reaksi daripada penyokong beliau. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA pihak harus menerima dengan hati dan minda terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala bahan bukti atau keterangan yang kuat, relevan dan boleh dipercayai bagi menyokong sesuatu proses pendakwaan di mahkamah. Ini dikuatkan lagi dengan segala proses penghujahan yang dilakukan oleh pihak peguam profesional dan berpengalaman.

Sudah pasti segala keputusan yang dibuat sama ada di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, proses atau prosedur yang telah lama wujud di negara kita dirangka berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Kita memiliki Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah yang lebih dikenali sebagai Akta 593. Ia menjadi panduan utama dalam kes-kes perbicaraan jenayah.

Prosedur perundangan jenayah akan bermula daripada pelaporan mengenai sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis, proses penyiasatan dan perbicaraan di mahkamah sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya.

Dari segi undang-undang, hanya terdapat dua tahap pembuktian iaitu melampaui keraguan munasabah untuk kes-kes jenayah dan melampaui imbangan kebarangkalian untuk kes-kes sivil.

Sekiranya pihak didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan ditetapkan, mereka boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi sekali di negara kita.

Seperti dijangka, keputusan Mahkamah Persekutuan ini menerima reaksi daripada pelbagai pihak baik dari dalam mahupun luar negara termasuk penyokong beliau kerana kes terbabit melibatkan individu penting.

Apa-apa jua reaksi, adalah penting semua pihak bertenang serta menghormati keputusan mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman negara.

Adalah amat tidak wajar sekiranya kita terus mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan ini kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan sistem dan institusi kehakiman.

Institusi kehakiman adalah penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuk Malaysia bagi menegakkan keadilan untuk semua pihak.

Sebarang ketidakpuasan terhadap sesuatu keputusan boleh disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang sedia ada. Adalah amat tidak wajar sekiranya ketidakpuasan itu diluahkan dengan cara yang tidak sepatutnya. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya