PN bukan hanya milik Bersatu

PN bukan hanya milik Bersatu

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan sejak 2020 bukan hanya milik mutlak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, selain Pas dan Bersatu, PN turut disertai oleh parti-parti lain iaitu parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“(PN) disertai oleh empat parti. Semasa diasaskan mesti ada yang pertama serta beberapa parti lain.

“Kalau dia (Bersatu) hendak kata milik dia (PN), ada parti-parti lain. Kalau Bersatu sahaja jadi satulah, sedangkan ia milik bersama empat parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Status PN menjadi tanda tanya selepas Pas bertindak memutuskan kerjasama politiknya dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan memandangkan kedua-dua parti merupakan pengasas kepada gabungan itu sejak Ogos 2020 sebelum disertai Gerakan pada Februari 2021 dan diikuti MIPP pada April 2024.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan Gerakan dan MIPP bagi membincangkan kedudukan semasa parti itu dalam PN, minggu ini.

Disoal PN masih merupakan pakatan pembangkang terbaik, Mohd. Amar berkata, senario politik sentiasa berubah-ubah dan belum tentu perpecahan dalaman Bersatu menguntungkan PN.

Katanya, keputusan sama ada Pas akan kekal atau keluar dari PN akan diputuskan kelak kerana semua ketetapan perlu dibuat mengikut peringkat demi peringkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN