fbpx

Elak kuasa melampau pada penguat kuasa

KAEDAH menghukum akan digunakan kerajaan untuk melawan masalah merokok yang merupakan isu kesihatan dan bukan jenayah.

SAUDARA PENGARANG,

PADA 26 Julai lalu, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen bagi menghentikan penggunaan produk tembakau dalam kalangan rakyat yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007.

Meskipun visi tersebut bermanfaat dari segi perubatan dan kesihatan, kandungan RUU ini mempunyai beberapa masalah khususnya dari segi pelaksanaan.

Pertama sekali, Fasal 17 menyatakan sesiapa sahaja yang ditangkap merokok atau mempunyai produk tembakau mahupun penggantinya, bahkan hanya menggunakan apa-apa alat merokok akan didenda tidak melebihi RM500 (asalnya RM5,000 tetapi diturunkan menurut ciapan Twitter oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin).

Ini bermakna kaedah menghukum akan digunakan untuk melawan masalah merokok merupakan isu kesihatan dan bukan jenayah. Langkah mengenakan denda akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah (B40) lebih terkesan berbanding kumpulan lain.

Secara amnya, hukuman tidak akan menghentikan orang ramai daripada merokok dan mereka yang didenda tidak diberi apa-apa insentif untuk berhenti merokok. Kesan hukuman ini akan hanya membuatkan mereka lebih berjaga-jaga bagi mengelak diri daripada ditangkap lagi oleh penguat kuasa.

Selain itu, Fasal 26, 31 dan 34 mengancam keselamatan orang ramai kerana memberi kuasa berlebihan kepada badan penguatkuasaan sehingga membolehkan berlaku salah guna kuasa yang mengganggu ketenteraman individu serta komuniti.

SALAH GUNA

Ini berpunca daripada penggunaan bahasa yang kabur dalam RUU berkenaan. Tiada syarat jelas untuk menentukan apa yang dianggap sebagai kelakuan mencurigakan bagi membolehkan badan penguatkuasaan memasuki premis, menghenti, memeriksa serta merampas pengangkutan dan mendapat akses kepada maklumat dalam rekod termasuk data komputer.

Meluluskan RUU terbabit tanpa mengubah fasal-fasal ini akan menjejaskan keselamatan dan privasi rakyat termasuk orang yang ada kaitan dengan suspek.

Seterusnya Fasal 33 yang membolehkan badan penguatkuasaan untuk bertindak menurut Fasal 32 tanpa waran akan memudaratkan masyarakat. Kuasa yang diberikan oleh fasal ini tidak munasabah dan hanya mengundang keburukan kepada masyarakat.

Walaupun Khairy telah mengumumkan beberapa pengubahsuaian kecil pada RUU seperti mengurangkan bayaran denda maksimum dan mengharamkan pemeriksaan badan pada orang di bawah umur 18 tahun, hal ini tidak memadai.

Ini kerana masih lagi wujud fasal yang memberi kuasa melampau kepada badan penguatkuasaan untuk disalahgunakan. Sama ada denda dikenakan adalah RM500 atau RM5,000, kedua-duanya adalah jumlah yang sangat besar kepada B40.

Lebih-lebih lagi sesiapa pun tidak patut menjalani pemeriksaan badan hanya kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan RUU ini. Sebagai rumusan, RUU yang dibentangkan Kementerian Kesihatan perlu diubah suai sepenuhnya sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan di Parlimen.

Ia mengandungi pelbagai peruntukan berbahaya yang mendedahkan masyarakat kepada pencabulan hak demokratik dan kemanusiaan. Penggubalan RUU ini sepatutnya dapat menjaga kepentingan rakyat, menitikberatkan kaedah pemulihan bukannya menekankan hukuman bagi menangani isu merokok di Malaysia. – UTUSAN

TITANIA, Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!