Buli siber berleluasa di media sosial tanpa kawalan - Utusan Malaysia

Buli siber berleluasa di media sosial tanpa kawalan

TINDAKAN buli siber perlu ditangani dengan segera kerana boleh menyebabkan individu tertekan lalu memilih untuk membunuh diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BULI siber ialah satu tindakan pencerobohan atau gangguan menggunakan teknologi. Biasanya ia dilakukan melalui teks, sembang, e-mel, aplikasi media sosial dan permainan dalam talian. Ia sering diulang dengan bertujuan untuk menakut-nakutkan, menimbulkan kemarahan dan memalukan mangsa.

Penyelidik buli siber, Jessie Yong yang memetik laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2020 menunjukkan Malaysia menduduki tempat kedua di Asia untuk tindakan buli siber dalam kalangan belia. Yong berpendapat laporan itu menunjukkan buli siber kini menjadi masalah yang semakin serius di negara ini.

Salah satu punca aktiviti ini kerana mereka tidak berpuas hati dengan individu tertentu. Lazimnya, pembuli siber tidak berpuas hati dengan penampilan, kemewahan dan tingkah laku mangsa. Pembuli siber mudah mengganggu mangsa dalam talian kerana identiti mereka sukar dikesan.

Buli siber juga boleh berlaku disebabkan pembuli ingin berseronok dengan membuat jenaka. Segelintirnya gemar menggunakan kata-kata lucah, berbaur fitnah dan hasutan. Tanpa sedar, tindakan mereka boleh mengguris emosi dan mental orang lain.

Terdapat beberapa kes bunuh diri di Korea Selatan disebabkan buli siber. Kes ini berlaku dalam kalangan artis seperti pelakon dan penyanyi, Choi Jin-ri atau lebih dikenali sebagai Sulli yang ditemui meninggal dunia akibat tekanan kerana sering dibuli warganet dengan kata-kata kecaman melampau sehingga apa sahaja yang dilakukannya menimbulkan rasa tidak puas hati.

Mangsa buli siber akan sentiasa mengingati kejadian itu sehingga menyebabkan mereka tertekan dan sentiasa resah. Lama-kelamaan, mangsa mungkin mengalami kemurungan. Ini juga menyebabkan mangsa hilang keyakinan dan takut untuk berinteraksi dengan orang lain.

Kejadian buli siber juga menyebabkan seseorang itu kehilangan sumber pendapatan dan menjejaskan kerjayanya. Pembuli siber akan menyebarkan fitnah di media sosial sehingga mangsa dipecat oleh majikan.

Syarikat mungkin tidak mahu mengupah seseorang yang pernah menjadi mangsa penderaan atau keganasan kerana ia boleh merosakkan reputasi syarikat. Ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan pekerjaan.

Justeru, masalah buli siber perlu ditangani segera. Semoga rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja menjauhi jenayah buli siber kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada mangsa. – UTUSAN

UMIE BALQIS ABDULL LATIFF, Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya