SAUDARA PENGARANG,
Perkataan lompat parti menjadi begitu sinonim dalam landskap politik negara. Ahli politik itu seterusnya digembar-gemburkan sebagai katak yang membawa imej negatif yang cenderung bertindak mengikut kepentingan sendiri mengatasi kesetiaan terhadap parti.
Jolokan ini menjadi semakin popular selepas ‘Langkah Sheraton’. Buat pertama kalinya di Malaysia, lantikan seorang Perdana Menteri Interim dan ketua kerajaan yang dilantik bukannya melalui pilihan raya umum (PRU) tetapi melalui jalan istana.
Hal ini menunjukkan betapa pentingnya fenomena lompat parti wajar dibendung kerana ia meruntuhkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah serta mengurangkan kredibiliti kerajaan untuk mentadbir serta melaksanakan agenda polisi demi kesejahteraan rakyat.
Oleh hal yang demikian, suatu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) dibentuk dan Rang Undang-Undang (RUU) ini dijadikan antara syarat utama sokongan PH. Hasil daripada kerjasama ini, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan pada 28 Julai 2022.
Titik perubahan ini tidaklah hanya berlaku di negara ini sahaja malah turut berlaku di negara demokratik, semi-demokratik dan tidak demokratik juga mengikut acuan pelembagaannya yang tersendiri.
Antara implikasi fenomena ini termasuklah melemahkan sistem demokrasi, mencipta imej buruk parti politik dan memesongkan keyakinan pengundi dan sokongan elit dalam parti tertentu. Lebih-lebih lagi ini akan mengakibatkan ketidakstabilan dalam parti politik yang membawa kepada kehilangan kemenangan yang sah dan demokratik ketika pilihan raya.
Fenomena lompat parti ini dikatakan sebagai perbuatan yang secara semula jadinya tidak sah kerana menyimpang daripada elemen kesetiaan parti, pilihan raya yang adil dan bermakna serta akauntabiliti demokrasi sesebuah negara.
Faktor lain termasuklah kelemahan institusi pemerintahan yang membenarkan politikus mengambil kesempatan untuk memaksimumkan kepentingan mereka melalui perbelanjaan awam, kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Situasi political fatigue yang terhasil daripada faktor tesebut kemudiannya tersebar luas dalam kalangan pengundi menyebabkan mereka merasakan bahawa suara mereka tidak lagi didengari dan penurunan peratusan keluar pengundi semakin merosot seperti yang berlaku dalam beberapa sisi Pilihan Raya Kecil (PRN).
Pun begitu, banyak persamaan antara anti lompat parti di India dan Malaysia, setelah pindaan dibuat pada tahun 2003. Namun, akta yang sama boleh dimanipulasi oleh aktor politik untuk meneruskan aktiviti melompat parti. Disebabkan India telah lama mewartakan akta tersebut kita dapat menyoroti sejauhmana keberkesanan akta tersebut bagi memberi ruang penambahbaikan daripada pihak Malaysia yang baru sahaja meluluskan RUU Anti-Lompat parti ini.
Diharapkan pindaan akan datang diperketat untuk memastikan sebuah kerajaan yang sah tidak sewenang-wenangnya dilumpuhkan begitu sahaja dalam masa yang singkat.-UTUSAN
JEEHAN FAHIRA
Koordinator Advokasi dan Pendidikan Politik Ajar Demokrasi