PETALING JAYA: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan bukti lain telah diperoleh polis berkaitan dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei diacu pistol ketika serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat hari ini polis sudah merakam keterangan 11 orang.
“Mereka yang dirakam itu termasuk pegawai SPRM dan isteri ahli perniagaan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai SPRM dilengkapi dengan alat rakaman termasuk kamera badan dan menafikan berlakunya salah laku seperti didakwa Albert.
Katanya, semua tindakan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.
Azam turut menafikan tindakan pegawai operasi yang mengacukan pistol ke kepala Albert ketika menjalankan tangkapan, Jumaat lalu. – UTUSAN










