SAUDARA PENGARANG,
IMPAK daripada pemansuhan subsidi minyak botol tulen kepada pengguna sememangnya amat dirasai, apatah lagi bagi kelompok peniaga.
Pemansuhan subsidi bermakna minyak masak lima kilogram (kg) dalam botol yang dijual sebanyak RM29.70 ketika menerima subsidi kini berharga RM42.70.
Rata-rata pengguna dan peniaga kecil terpaksa beralih kepada minyak masak peket sebagai alternatif bagi meringankan beban memandangkan subsidi bagi minyak masak peket masih dikekalkan pada harga RM2.50 sepeket.
Namun, apa yang berlaku ialah minyak masak peket kini bagaikan ghaib di pasaran. Malah di sesetengah tempat kekurangan minyak masak peket bukanlah masalah baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak tahun lalu.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menarik balik lesen 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi dalam peket setelah mereka didapati menjadi dalang menyeludupnya ke negara jiran.
Dianggarkan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 60,000 tan metrik atau 60 juta kg sebulan minyak masak peket bersubsidi kepada pengilang untuk diagihkan kepada pembungkus dan pemborong berbanding 55,000 tan metrik keperluan sebenar pengguna.
Ini bermakna sebanyak 60 juta peket minyak masak satu kg diagihkan setiap bulan. Ini juga bermakna setiap penduduk akan mendapat kuota dua kg sebulan bagi 30 juta rakyat Malaysia.
Harga sebenar minyak masak peket ialah RM9 berbanding harga yang dijual sekarang yang sebenarnya paling murah dalam dunia. Secara logiknya, tidak sepatutnya berlaku kekurangan minyak masak peket di pasaran.
Apa yang pasti, salah satu punca situasi tersebut ialah aktiviti penyelewengan dengan cara diseludup ke negara jiran dan dijual di pasaran gelap.
Kerugian
Aktiviti ini dikatakan telah lama berlaku dan usaha membanterasnya masih terus dilakukan oleh pihak berkuasa, namun belum berjaya dihapuskan sepenuhnya.
Malaysia dianggarkan kerugian kira-kira RM4.2 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 31 Mei lalu akibat penyelewengan minyak masak bersubsidi.
Kerugian ini berdasarkan nilai rampasan 430 kes penyelewengan yang dibongkar oleh KPDNHEP di seluruh negara.
Tidak menghairankan mengapa minyak masak serta barangan bersubsidi lain dari Malaysia menjadi pilihan rakyat negara jiran khususnya di selatan Thailand sejak berpuluh tahun kerana harganya murah, berkualiti dan yang lebih penting, halal.
Status halal Malaysia tidak pernah diragui kerana diiktiraf oleh dunia. Orang luar sentiasa percaya kepada usaha serius kerajaan Malaysia dalam aspek pemakanan halal.
Justeru, hakikat tersebut telah disalah guna pihak tertentu dengan menyemarakkan aktiviti penyeludupan seperti minyak masak peket, petrol, diesel, gula, susu pekat dan tepung.
Ia menjadi perkara biasa di sebalik kerajaan berusaha berhabis-habisan menyekat ketirisan barangan bersubsidi tersebut.
Apa pun, selain kerjasama berterusan kerajaan dengan pihak berkuasa negara jiran dalam membendung kegiatan tersebut, persatuan-persatuan pengguna diharap terus membantu menangani masalah ini dengan menyalurkan aduan pengguna kepada pihak berkuasa.
Bagi pengguna pula, amalkan sikap berhemah. Jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi sebaiknya laporkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Usah bertindak sendiri. – UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya