PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini sebagai penuh makna dan membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi mendepani konflik Asia Barat yang semakin menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia.
Menurutnya, dalam suasana ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip demi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
“Kami sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
“Pada masa sama, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz mesti dipastikan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Telegram rasmi beliau hari ini.
Tambah beliau, Malaysia juga terus berinteraksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan serta meneliti kesan global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.
“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” katanya. – UTUSAN











