Kita perlu protagonis Melayu untuk penyatuan - Utusan Malaysia

Kita perlu protagonis Melayu untuk penyatuan

KARAKTER yang ditampilkan dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan hampir tepat dengan apa yang berlaku sekarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA berkesempatan menonton Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, filem adaptasi sejarah Melayu yang sedang hangat diperkatakan.

Sebuah karya produksi yang baik, penuh dengan mesej-mesej bernilai dan babak menghiburkan bagi mereka yang meminati filem aksi. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menghasilkannya.

Filem ini mengetengahkan protagonis (watak utama) Melayu, Mat Kilau pada zaman kolonial Inggeris yang berusaha untuk menyatukan orang-orang Melayu menggunakan kaedah Islamik dan kecintaan kepada tanah air supaya bangun menentang kekejaman dan kerakusan penjajah yang menjarah hasil kekayaan bumi Melayu.

Karakter-karakter yang ditampilkan hampir tepat dengan apa yang berlaku dalam dunia Melayu sekarang. Ada golongan pejuang, pembelot serta pengkhianat dan yang hanya mahu teruskan hidup dan biarkan apa yang berlaku. Mereka rela hidup dalam keadaan itu daripada berjuang membetulkan keadaan.

Orang Melayu perlu sedar dan bangkit untuk mengembalikan maruah mereka. Penentangan mereka bukan lagi fizikal ataupun kepada mana-mana bangsa asing ataupun kuasa luar.

Sebaliknya, menentang minda orang Melayu yang mula menerima rasuah, salah guna kuasa serta merompak wang rakyat. Yang mana jika dibiarkan boleh menjadi satu budaya bangsa suatu hari nanti.

Kita tidak mahu melihat generasi muda yang akan memimpin masa hadapan menganggap dengan cara rasuah dan salah guna kuasa, mereka boleh menjadi kaya dan berkuasa.

Ini kerana apa yang mereka pelajari hari ini ialah rasuah dan salah guna kuasa adalah tidak mengapa sebab jika dilakukan amat susah mendapat hukuman.

Satu protagonis Melayu diperlukan hari ini untuk penyatuan Melayu. Watak ini amat perlu untuk membawa perjuangan bangsa Melayu dalam menjamin kelangsungan dan menebus maruah. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya