Ketika inflasi kita masih asyik bazir wang

Ketika inflasi kita masih asyik bazir wang

BERBELANJA untuk persiapan hari raya harus mengikut kemampuan diri kita sendiri. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASALAH inflasi atau kenaikan harga barang makanan yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini memang sudah lama dijangka kerana ia fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara lain termasuk Amerika Syarikat.

Malah, masalah inflasi ini sudah pun lama berlaku di kebanyakan negara sebelum Malaysia. Oleh yang demikian, adalah penting untuk setiap rakyat mengambil segala langkah perlu bagi memastikan mereka tidak terjejas teruk akibat masalah inflasi termasuk mengelakkan pembaziran.

Setiap orang harus mengambil langkah awal dengan menyimpan wang untuk kegunaan pada waktu kecemasan seperti yang sedang dilalui sekarang dan pada masa akan datang.

Agak sedih melihat gelagat segelintir pihak yang sibuk membazir duit semata-mata menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan terbaharu, Hari Raya Aidiladha.

Persoalan harus ditanya, adakah segala pembaziran wang yang dilakukan untuk menyambut hari raya berbaloi pada diri kita sekarang? Ramai pasti menyesal dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh mereka untuk sambutan hari raya lalu.

Pengeluaran awal duit simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) yang diluluskan oleh kerajaan pun tidak sepatutnya dibazirkan semata-mata untuk menyambut hari raya walaupun kedatangannya setahun sekali.

Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan bagi menyambut sebarang jenis perayaan termasuk Hari Raya Aidiladha, adalah penting setiap daripada kita untuk merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros.

Walaupun hari raya cuma datang setahun sekali, namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan banyak wang serta sanggup berhutang semata-mata untuk menyambutnya.

Ketidakstabilan pasaran kerja pada ketika ini juga menuntut kita semua supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih bersederhana dan berjimat-cermat.

Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh ajaran Islam itu sendiri. Perkara ini selaras dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara itu.”

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya hari raya ini diisi dengan pembaziran serta perkara yang membawa kepada kemudaratan dan sia-sia pada diri sendiri.

Tidak salah untuk kita melakukan pelbagai jenis persiapan dan membeli kelengkapan untuk menyambut hari raya, namun ia harus dilakukan dengan bijaksana dan tidak membawa kerosakan kepada diri sendiri.

Perkara utama yang harus diberi penekanan ketika ingin melakukan proses persiapan hari raya adalah berbelanja mengikut kemampuan diri sendiri.

Bak kata peribahasa Melayu, ukur baju di badan sendiri, kita tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain. Setiap orang memiliki tahap kemampuan kewangan masing-masing.

Sebarang proses perbelanjaan yang tidak mengikut tahap kemampuan kewangan akan menyebabkan kita mengalami masalah ketiadaan duit serta mudah terjerumus ke kancah hutang. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN