Buat sesuatu kerana Plaza Tol Bentong semakin sesak - Utusan Malaysia

Buat sesuatu kerana Plaza Tol Bentong semakin sesak

PEMANDANGAN udara keadaan trafik yang sesak berikutan warga kota kembali dari kampung halaman selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu di Plaza Tol Bentong. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH sebahagian jalan Central Spine Road (CSR) dibuka kepada lalu lintas pada November 2021, pengguna boleh menggunakan jalan ini untuk ke Kampung Lebu di Bentong, Pahang tanpa melalui bandar Bentong dan terus ke Raub, Lipis yang menghubungkan Gua Musang di Kelantan.

Tiada lagi kesesakan di bandar Bentong kerana laluan CSR ini adalah jalan pintas. Kenderaan dari Pahang Barat dan Kelantan boleh ke Lebuh Raya Karak (KLK) tanpa melalui bandar Bentong. Pakej yang disiapkan ini bermula dari Kampung Lebu terus keluar ke KLK berhampiran Plaza Tol Bentong arah barat.

Semasa cuti perayaan, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Karak LPT1 arah barat sehingga simpang Bukit Tinggi Resort atau Hentian Sebelah Lentang.

Kenderaan semakin perlahan dan adakala tidak bergerak apabila menghampiri susur keluar CSR dari Felda Mempaga ke Plaza Tol Bentong yang jarak antara kedua-duanya tidak begitu jauh.

Ia lebih sesak jika dibandingkan ketika susur keluar CSR ini belum dibina dan belum dibuka. Kesesakan ini berlaku disebabkan jumlah kenderaan dari Pahang Timur dan Terengganu bertemu kenderaan dari susur CSR dari arah Mempaga.

Ia mewujudkan kesesakan kerana hanya terdapat dua lorong sepanjang 1.5 kilometer di KLK sebelum menghampiri Plaza Tol Bentong.

Justeru, dicadangkan agar pihak berwajib menambah dari dua ke empat atau enam lorong dari susur keluar CSR Mempaga ke Plaza Tol Bentong.

Sementara untuk langkah jangka panjang ialah pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan pembinaan sambungan CSR dari Mempaga ke Pelangai menghala arah selatan berhampiran sempadan Negeri Sembilan.

Selain itu, dicadangkan juga LLM dan kerajaan merancang membina lebuh raya baharu dari CSR di Pelangai ke Kajang, Selangor merentasi bahagian selatan Banjaran Titiwangsa sebagai pilihan laluan ke Pantai Barat atau Pantai Timur. – UTUSAN

TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya