SAUDARA PENGARANG,
TERPANGGIL untuk memberi respons senario perceraian membabitkan sebilangan besar selebriti yang biasanya dikaitkan dengan kehadiran orang ketiga. Lebih memburukkan keadaan jika mereka berkongsi cerita hal urusan atau masalah rumah tangga di media sosial.
Dalam isu ini, kita perlu sentiasa beringat bahawa rambut manusia sama hitam tapi hati lain-lain.
Nasihat orang tua dulu-dulu, jangan sesekali berkongsi foto atau kebahagiaan rumah tangga dengan orang lain secara keterlaluan di media sosial juga perlu dipraktikkan bagi mengelak perkara tidak baik.
Sikap segelintir selebriti termasuk netizen yang suka mencampuri urusan atau masalah rumah tangga orang lain amat dikesali kerana mereka ini seolah-olah masih jahil mengenai hukum tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.
Dalam permasalahan ini, jumhur ulama bersepakat bahawa perbuatan meruntuhkan atau merosakkan rumah tangga orang lain hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Hal demikian ada disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitsami dalam kitab al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair yang mengkategorikan perbuatan meruntuhkan rumah tangga orang lain haram dan berdosa besar malah paling dimurkai oleh Rasulullah SAW serta baginda tidak mengaku mereka ini sebagai umat-Nya di akhirat kelak. Ia dikuatkan lagi keterangan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukan daripada kalangan umatku orang yang merosakkan atau meruntuhkan hubungan suami isteri atau seorang budak terhadap tuannya.” (Hadis riwayat Abu Daud 5170).
Maka hendaklah kita menjauhkan diri daripada terjebak melakukan perbuatan seumpama ini kerana kesan dan akibatnya perlu menanggung beban dosa.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang