SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA tidak menghantar jemaah haji selama dua tahun berturut-turut susulan penutupan pintu sempadan dan kali terakhir berbuat demikian adalah pada 2019 yang melibatkan seramai 31,600 orang.
Bagaimanapun, tahun ini berbeza apabila dapat berbuat demikian dengan kuota haji kali ini adalah 14,306 orang iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.
Dalam masa sama, Malaysia juga masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah bagi musim haji kali ini.
Terdapat juga 1,000 kekosongan kerana bakal jemaah terpaksa menolak panggilan disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan dan akan diisi 60,000 orang yang merayu untuk melaksanakan ibadat itu.
Dalam pada itu, saya ingin mengulas mengenai Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang merupakan sebuah institusi Islam yang sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji.
Logo Tabung Haji condong ke sebelah kanan menggambarkan bahawa lembaga itu tidak statik malahan terus positif dan antara nilai terasnya adalah menerima perubahan, prihatin dan penyayang.
Sistem pendaftaran haji sejak 1955 pula bersifat terbuka berdasarkan konsep mendaftar dahulu, didahulukan.
Melihat kepada latar belakang, misi, visi serta nilai terasnya, Tabung Haji memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu umat Islam mengerjakan haji di samping bergerak dalam pelaburan dan peranannya semakin perlu digandakan dalam persekitaran dunia yang berubah.
BARZAKH
Justeru, Tabung Haji perlu melakukan perubahan yang besar dan drastik demi meneruskan peranan asalnya untuk menguruskan pemergian jemaah haji negara ini ke Tanah Suci.
Antara perubahan yang perlu dilakukan oleh Tabung Haji adalah mengutamakan warga emas yang sihat tubuh badan iaitu yang berumur 50 hingga 60 tahun untuk mengerjakan ibadat haji.
Sekarang ini, tidak kurang sejuta jemaah baharu mendaftar untuk menunaikan haji dan perlu menunggu berpuluh-puluh tahun bagi menunaikan ibadat itu.
Jadi, mana-mana jemaah warga emas tidak dapatlah mengerjakan haji dengan segera. Kalau dapat pun kemungkinan terlalu uzur atau sudah ke alam barzakh.
Jadi, cadangan saya Tabung Haji perlu melihat kembali peringkat umur jemaah dan kuota haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi. Sebagai contoh, perlulah diisi 90 peratus oleh golongan warga emas berkategori sihat dan berumur 50 hingga 60 tahun.
Selebihnya, 10 peratus diisi oleh golongan dewasa yang berumur 30 hingga 40 tahun. Bagi golongan muda pula, mereka ada masa 10 atau 20 tahun lagi untuk menunggu dan menunaikan ibadat haji.
Maka, syarat warga emas yang layak ini perlulah mendaftar, ada kewangan cukup dan sihat tubuh badan. Mereka diutamakan dan tidak menunggu terlalu lama untuk menunaikan haji. Jadi, konsep mendaftar dahulu, diutamakan itu terpakai kepada warga emas sahaja.
Selain itu, Tabung Haji perlu mengehadkan tidak lebih dua ahli keluarga untuk menunaikan haji. Jumlah ahli keluarga yang ramai boleh menjejaskan kuota dan menutup peluang terutama golongan tua menunaikan haji.
Walaupun kemampuan mengerjakan haji itu bergantung di pihak kerajaan dan manusia, tetapi Tabung Haji perlulah melakukan reformasi terhadap bilangan jemaah yang semakin meningkat dan tidak salah membuat perubahan terhadap sistem menunaikan haji. – UTUSAN
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang