SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Hakim (bukan nama sebenar), 21, yang merupakan pelajar sebuah universiti tempatan di ibu kota menjadi mangsa terbaharu penipuan siber.
Penipuan siber bukan isu baharu di negara ini, malah telah berlarutan sejak sekian lama tanpa wujud sebarang penyelesaian berkesan untuk mencegahnya.
Sasaran penjenayah bukan sahaja golongan muda yang bekerja, profesional dan warga emas, malah remaja yang belum ada pendapatan tetap, tidak kira masih di peringkat sekolah mahupun universiti.
Menurut Hakim, penipuan yang berlaku berpunca daripada kepercayaannya terhadap pengiklanan dalam grup Telegram tentang keuntungan yang bakal diperoleh sekiranya turut serta dalam skim pelaburan saham yang dipromosikan dengan begitu agresif.
Mangsa turut menyatakan dirinya sedar bahawa tidak mudah untuk mendapatkan pulangan besar, lagi-lagi yang melibatkan wang ringgit tetapi disebabkan oleh sifat ingin tahu dan terdesak mahukan duit, maka diabaikan segala kebarangkalian buruk yang boleh berlaku.
Tambah mangsa, dia sedar dirinya sedang berurusan dengan scammer (penipu) setelah individu tersebut memaksa melakukan transaksi sedikit demi sedikit ke dalam akaun berlainan.
Alasan diberikan sekiranya tidak diselesaikan pembayaran tersebut, keuntungan dalam saham tidak dapat dicairkan ke bentuk wang ringgit dan akibatnya pengeluaran tidak boleh dilakukan.
Oleh sebab buntu dan tidak tahu pengakhiran kepada proses itu, maka mangsa akur dengan arahan penipu tersebut.
TERPEDAYA
Mangsa beranggapan transaksi tersebut merupakan yang terakhir kerana penipu berjanji bahawa keesokan hari, wang akan dihantar terus ke akaun yang telah didaftarkan, tambah pula dengan kata-kata manis berunsur ketuhanan seperti “Demi Allah saya berjanji” supaya mangsa terpedaya.
Tapi keesokan harinya, penipu tersebut mengarahkan supaya mangsa membuat transaksi terakhir dengan alasan sebagai yuran pengeluaran.
Mangsa enggan dan minta dipulangkan wang tetapi penipu tersebut mengabaikan permintaan, kemudian menyekat nombor mangsa.
Mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan. Pihak polis menasihati mangsa supaya segera menghantar laporan berkenaan ke bank-bank berkaitan supaya dapat mengambil tindakan terhadap pemilik-pemilik akaun yang telah didaftarkan.
Mangsa menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mempercayai iklan-iklan berbentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak logik kerana kesannya bukan sahaja terhadap masalah mental dan emosi malah keluarga juga terkena tempiasnya.
Bukan itu sahaja, wang yang telah dilaburkan kemungkinan besar sukar dapat kembali kerana proses panjang dan memakan masa.
Sekiranya anda telah menjadi mangsa kepada penipu siber sebegini, jangan takut untuk membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.
Ini kerana sekiranya tiada laporan, maka semakin senang dan berleluasa penipu siber ini mendapatkan mangsa baharu. – UTUSAN
MUHAMMAD KHAIRUL RAZI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka