ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan Kedah tidak akan berganjak dalam isu pajakan Pulau Pinang yang bakal memasuki fasa perundangan.
Beliau berkata, Kedah membuat tuntutan tersebut menurut saluran undang-undang seperti mana yang dikehendaki oleh Pulau Pinang sendiri, sebelum ini.
“Dahulu mereka cabar saya jangan cakap saja, bawalah ke mahkamah sekarang saya maklum proses bawa ke mahkamah depa marah juga. Apa yang sebenarnya kamu mahu?,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bajet Kedah 2026 di Wisma Darul Aman di sini.
Ketika sesi pembentangan Bajet Kedah 2025 Ahad lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa Kedah dalam proses melantik peguam bagi memulakan proses perundangan berhubung isu pajakan Pulau Pinang itu.
Perkembangan terbaharu itu mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada pemimpin Pulau Pinang yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar memandangkan Menteri Besar berkenaan sepatutnya menumpukan perhatian memajukan negeri ini daripada membangkitkan isu berusia 200 tahun itu.
Berucap lanjut, kata Muhammad Sanusi, pihaknya yakin kebenaran tentang kedudukan dan hubungan Kedah dan Pulau Pinang itu akan terungkap juga dengan langkah tersebut.
“Saya apa pun berkaitan perkara ini (pajakan Pulau Pinang) saya mahu lakukan, saya tidak akan berundur lagi saya merupakan anak cucu kepada pejuang suatu ketika dahulu walaupun kepimpinan nampak lemah oleh tangan kuasa besar namun di hati kecil mereka berharap satu hari nanti anak cucu akan bangkit dan tuntut kembali apa yang hilang. Kami tidak gentar dan takut,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, persepsi Kedah gagal membangunkan Langkawi sekadar dicipta untuk memburukkan reputasi pentadbiran kerajaan negeri.
Ujarnya, gelaran Langkawi sebagai pulau ‘hantu’ sudah lama dicipta oleh pihak tertentu yang berhasrat untuk mengambil alih pulau pelancongan negara itu.
“Satu ketika dahulu dibina persepsi Langkawi ‘Pulau Hantu’ kerana ada agenda untuk ambil alih sebagai Wilayah Persekutuan. Langkah mayat kita dulu. Mereka perlu berhenti memburukkan Langkawi kerana Langkawi adalah permata Kedah walaupun hasil pelancongan pergi kepada Persekutuan juga,” katanya.
Akhbar ini melaporkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan agar kerajaan negeri membuktikan kemampuan membangunkan Langkawi yang berada sepenuh di bawah pentadbirannya.
Ia susulan daripada tindakan kerajaan negeri yang merancang untuk membawa tuntutan pajakan ke atas Pulau Pinang ke mahkamah tidak lama lagi. – UTUSAN









