Masyarakat Islam semakin tidak toleran? - Utusan Malaysia

Masyarakat Islam semakin tidak toleran?

FESTIVAL Bon Odori adalah pesta kebudayaan Jepun yang dilakukan di tengah padang di mana sekumpulan penari mengelilingi pemain dram sambil mengenakan pakaian tradisional negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, berlaku polemik hangat berkenaan penganjuran sebuah festival yang dianggap bersifat keagamaan sehingga menuntut campur tangan pihak berkuasa agama dan ketua agama di negara kita.

Mungkin ada yang berpendapat, ini adalah petanda bahawa kesedaran terhadap agama Islam semakin meningkat dalam kalangan rakyat.

Namun, mungkin juga ia petanda masyarakat Islam sudah semakin tidak toleran dan terbuka terhadap resam hidup dan kepercayaan agama serta budaya bangsa lain.

Segelintir daripada kita seolah-olah menafikan kewujudan agama dan kepercayaan lain dan menganggap golongan bukan Muslim hanya berniat untuk memerangi Islam semata-mata.

Kita memahami kerisauan umum tentang kemungkinan ada unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran Islam menerusi acara sebegini.

Bagaimanapun, harus kita sedari bahawa acara sebegini tidak dikhususkan untuk umat Islam semata-mata. Tiada juga sebarang unsur paksaan kepada umat Islam untuk menghadirinya.

Selain itu, jika kita mengikut logik mengenai unsur-unsur yang bertentangan ini, acara-acara keagamaan bukan Islam yang lain sambutan Thaipusam di Batu Caves, perlu dihentikan kerana jelas tidak selari dengan norma-norma keislaman yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.

Lebih penting lagi jika benar-benar mengikuti ajaran Islam, kita tidak akan semudah ini menghentam dan menghalang acara sebegini.

Lihat saja firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.”

Adakah penganjuran acara sebegini adalah satu satu bentuk peperangan dan penyerangan yang nyata daripada golongan bukan Muslim kepada Islam dan umatnya? Jawapannya, sudah tentu tidak.

RASIONAL

Benar, ada yang beranggapan sebilangan kecil umat Islam mungkin akan terpengaruh dengan unsur-unsur agama lain di dalam acara sebegini.

Namun, tanyalah diri sendiri, adakah keimanan kita hanya setebal kulit bawang sehingga dengan hanya melihat dan mengunjungi acara sedemikian akan mengubah kepercayaan agama 180 darjah dan menghancurkan akidah Islam?

Ambillah saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengajak kita untuk menghadiri sendiri acara sebegini.

Gunakan peluang ini untuk memahami tentang nilai-nilai positif dan universal daripada kepercayaan pihak lain sambil memperkenalkan aspek-aspek terbaik daripada agama Islam sendiri.

Dengan cara ini, kita semua akan dapat berdialog dengan pihak lain secara lebih baik.

Hal ini seterusnya dapat melahirkan masyarakat lebih teguh dan siaga dalam menghadapi segala perubahan di dunia yang bergerak terlalu cepat ini.

Membenarkan penganjuran acara sebegini bukan bermakna kita percaya atau menerima segala elemen agama lain dan menodai Islam itu sendiri.

Sebagai umat Islam yang rasional dan toleran, kita perlu mempunyai sifat memahami dan menghormati dan elakkan memerangi dan memusuhi.

Kita harus memilih keharmonian dan kebersamaan daripada perkara-perkara yang memisahkan sesama sendiri.

Jangan terus berada di bawah tempurung sambil menafikan kewujudan budaya dan kepercayaan lain atas alasan kita ‘tidak mahu terpengaruh.’

Bukankah lebih baik kita menunjukkan keunggulan dan kesyumulan Islam menerusi sifat saling menghormati dan bertoleransi? – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya