TUMPAT: Sebuah premis dobi di Pasar Besar Wakaf Bharu di sini mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai hilang kawalan akibat pemandunya tersalah menekan pedal minyak semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, wanita Melayu berusia lingkungan 50-an berkenaan dikatakan memandu dari arah Jalan Puteri Saadong sebelum membuat pusingan-U berhampiran premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati semasa melakukan pusingan-U, wanita terbabit dipercayai secara tidak sengaja menekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandunya meluru laju.
“Kereta itu kemudian merempuh pintu kaca bahagian hadapan premis dobi berkenaan sehingga pecah.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, sebelum itu pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada pemilik premis, lelaki berusia 32 tahun kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN










