SYDNEY: Australia akan berusaha mengelakkan kekurangan tenaga dengan mewajibkan syarikat gas utama menyimpan 20 peratus daripada eksport mereka untuk kegunaan domestik, kata Menteri Tenaga, Chris Bowen semalam.
Negara itu merupakan antara pengeksport terbesar gas asli cecair (LNG) di dunia, iaitu sumber bahan api penting yang semakin mendapat permintaan tinggi ketika perang di Asia Barat mengganggu pasaran tenaga global.
Bagi melindungi negara daripada ketidaktentuan harga global, syarikat gas terbesar Australia akan diwajibkan mengasingkan sebahagian bekalan untuk pasaran domestik, bersamaan 20 peratus daripada jumlah eksportnya.
“Kami mengambil langkah untuk melindungi rakyat Australia daripada kejutan tenaga global dengan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui yang boleh dipercayai serta memastikan lebih banyak gas diperlukan kekal di dalam negara,” kata Bowen kepada wartawan.
Australia merupakan pembekal utama LNG ke seluruh Asia, di mana harga meningkat mendadak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada penghujung Februari.
Kira-kira 40 peratus daripada bekalan LNG Jepun datang dari Australia, menurut Persatuan Gas Asli dan Tenaga Asia.
Australia juga merupakan sumber LNG terbesar Singapura, membekalkan lebih 30 peratus daripada keperluan negara itu, berdasarkan data kerajaan.
Dalam pada itu, Bowen cuba meredakan kebimbangan bahawa keputusan berkenaan akan menjejaskan rakan dagang Australia.
“Kami tidak akan mengganggu mana-mana kontrak sedia ada. “Kami berbincang rapat dengan rakan dagang supaya semua negara faham bahawa Australia akan sentiasa menjadi pembekal tenaga yang boleh dipercayai,” katanya.
Kerajaan akan menggubal undang-undang bagi melaksanakan skim rizab tersebut bermula Julai 2027, kata Bowen.
Australia, yang terletak secara geografi terpencil serta hanya mempunyai dua kilang penapisan minyak, sangat terdedah kepada gangguan bekalan bahan api global.- AFP











