Larangan bukan syok sendiri

Larangan bukan syok sendiri

KEBIASAANNYA individu yang kali pertama menjalani pembedahan akan tertanya-tanya, apakah persediaan yang perlu dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN terdapat dalam kalangan kita yang musykil dengan beberapa pantang larang sebelum menjalani pembedahan yang sebenarnya mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk menjaga keselamatan pesakit.

Antaranya, sebelum memasuki dewan pembedahan, pesakit perlu menanggalkan apa-apa perhiasan atau barangan yang mengandungi besi atau logam lain.

Ini kerana ketika pembedahan, adakalanya memerlukan penggunaan alat elektrik yang dinamakan diatermi untuk menghentikan pendarahan pada kawasan pembedahan.

Sekiranya memakai aksesori yang diperbuat daripada logam atau besi, arus elektrik boleh menyerap pada barangan berkenaan dan ini mampu menyebabkan kebakaran pada tubuh yang dinamakan diathermy burnt.

Dalam pada itu, apabila seseorang pesakit dimaklumkan perlu menjalani pembedahan, tentu dia akan tertanya-tanya apakah persediaan yang perlu dilakukan?

Doktor akan memberitahu tarikh pembedahan dan sama ada ia dilakukan di bawah unit jagaan harian yang bermaksud pesakit boleh balik pada hari sama.

Ada juga pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad sehari atau beberapa hari sebelum pembedahan. Sehari sebelum pembedahan, pesakit akan diperiksa oleh doktor bius untuk memastikan tubuh sesuai untuk diberi pembiusan am bagi pembedahan tersebut.

Sebelum pembedahan dijalankan, pesakit perlu menandatangani borang persetujuan. Borang ini hanya boleh ditandatangani oleh seseorang yang berusia 18 tahun ke atas.

Individu berusia kurang dari 18 tahun, ibu bapa atau penjaga boleh menandatangani borang bagi memberi persetujuan untuk pembedahan.

Doktor juga akan memberitahu pesakit jenis pembiusan yang akan diberi. Ada dua jenis pembiusan iaitu pertama, pembiusan setempat dan kedua, pembiusan am.

PUASA

Sekiranya pembiusan setempat, pesakit sedar atau separa sedar. Untuk pembiusan am, pesakit tidak sedar sepanjang pembedahan dijalankan dan pembiusan jenis ini akan diberi oleh doktor bius.

Bagi pembiusan am, pesakit perlu berpuasa yakni tidak boleh makan dan minum sekurang-kurangnya lapan jam. Tujuan perlu berpuasa adalah kerana ubat yang digunakan untuk pembiusan am akan merehatkan otot-otot.

Jika tidak berpuasa boleh menyebabkan makanan yang ada di dalam perut terkeluar dan mengalir ke dalam paru-paru.

Keadaan ini boleh membahayakan pesakit. Pesakit juga diarahkan berpakaian gaun sebelum dihantar ke dewan bedah. Ini adalah bagi memudahkan urusan menanggalkan pakaian apabila diperlukan di dalam dewan bedah.

Pakaian perlu ditanggalkan termasuk pakaian dalam. Sekiranya pembedahan mengambil masa yang lama seperti melebihi empat jam, pesakit akan dimasukkan tiub saluran kencing bagi membantu pengeluaran air kencing.

Pesakit yang memakai gigi palsu, ia perlu ditanggalkan. Ini penting kerana untuk pembiusan am, tiub membantu pernafasan akan dimasukkan.

Sekiranya ada gigi palsu, ia akan menyebabkan gigi palsu tertanggal ketika prosedur memasukkan tiub dan masuk ke saluran pernafasan serta akan tersekat di situ. Ini adalah keadaan yang sungguh berbahaya kepada pesakit.

Pemeriksaan tekanan darah, suhu badan, nadi dan pernafasan akan diambil oleh jururawat untuk memastikan pesakit stabil untuk menjalani pembedahan.

Ada juga pesakit yang diberi ubat sedatif sama ada secara oral atau suntikan. Tujuannya adalah untuk menenangkan anda dan membuatkan berasa mengantuk.

Justeru, pesakit perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak hospital sebelum menjalani pembedahan demi kebaikan bersama. – UTUSAN

DR. JALINA KARIM, Pensyarah Kanan Jabatan Kejururawatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya