Tidak rugi melabur untuk bumi kita - Utusan Malaysia

Tidak rugi melabur untuk bumi kita

DEMONSTRASI yang dianjurkan oleh penduduk di New York, Amerika Syarikat bagi menghalang kemusnahan bumi sehari selepas sambutan Hari Bumi Antarabangsa 2022. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AWAL tahun ini, sekumpulan 14 ahli sains dari Universiti Stockholm, Sweden, merumuskan dalam kajian mereka bahawa pencemaran dan pelepasan entiti baharu iaitu bahan kimia termasuk plastik telah melepasi sempadan batas planet bumi.

Terdapat sembilan batas planet yang dikenal pasti yang mana lima daripadanya melepasi sempadan amaran iaitu aliran biogeokimia, integriti biosfera, perubahan sistem lapisan tanah yang subur, perubahan iklim dan yang terkini pencemaran entiti baharu.

Empat lagi batas planet iaitu penggunaan air tawar, pengasidan lautan, peratusan aerosol dalam udara dan penipisan lapisan ozon masih berada di bawah paras membimbangkan.

Pendekatan efektif bersama yang disarankan adalah bersesuaian dengan tema Hari Bumi Antarabangsa 2022 iaitu Melabur untuk Planet.

Pelaburan yang dimaksudkan ialah lebih kepada mengajak orang ramai memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem ekonomi hijau melalui anjakan paradigma yang jelas.

Planet bumi yang semakin sesak dan kekurangan sumber perlu dianjakkan daripada hanya berpaksikan bahan api fosil kepada sumber alternatif yang mesra alam.

Pengguna mempunyai kuasa bagi mendidik syarikat gergasi untuk menjadi lebih mesra alam sekitar dengan mempengaruhi pasaran melalui pilihan pembelian yang bijak.

Ini termasuk membeli syampu yang tiada bijian mikroplastik dan mudah terbiodegradasi serta memilih kenderaan varian hibrid, mesra alam serta bijak tenaga.

Sebagai rakyat yang prihatin, kita juga wajar memilih kepimpinan yang bukan hanya lantang ingin membawa negara menjadi harimau ekonomi tetapi juga menyasarkan aktiviti ekonomi hijau dan mapan.

Di samping itu, rakyat juga bertanggungjawab memastikan wakil rakyat yang dilantik berperanan membawa suara mereka dalam penggubalan polisi dan undang-undang serta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sebarang pencemaran alam sekitar yang berlaku di kawasan masing-masing.

Selain itu, kita juga boleh bergerak dalam satu komuniti bagi meminimumkan kesan pulau haba bandar melalui penanaman pokok malar hijau yang turut boleh membantu menapis pencemaran dan memelihara sumber air.

Kita boleh terlibat dengan aktiviti dialog sosial berkaitan alam sekitar yang dianjurkan di tempat kerja.

Di peringkat nasional pula, kerajaan telah dan sedang giat memantapkan strategi dan pelaksanaan inisiatif Malaysia Lestari 2030 selaras dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030.

Kita juga boleh menjadi sukarelawan atau menyokong aktiviti ekonomi hijau. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES, Timbalan Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN