Teruskan sifat jujur selepas Ramadan

Teruskan sifat jujur selepas Ramadan

SIFAT jujur dan setia yang diamalkan sepanjang sebulan berpuasa perlu disuburkan dalam setiap aktiviti khususnya berkaitan dengan iman dan ibadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA sifat yang mudah dilihat sepanjang Ramadan lalu adalah kejujuran dan kesetiaan seseorang berpuasa. Ramai yang sanggup berehat dan tidur sepanjang hari bagi mengekalkan puasa sedangkan peluang terbentang luas di hadapan mereka untuk menipu atau ‘ponteng puasa.’ Secara tidak langsung, puasa mendidik kita bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap tindak-tanduk hamba-Nya. Alangkah indah sekiranya keya

kinan seperti ini meresap ke dalam setiap inci hidup setiap Muslim.

Islam mendidik umatnya agar berlaku jujur dan setia. Al-Quran berulang kali menekankan kepentingan sifat kesetiaan sebagaimana dalam ayat 40 surah al-Baqarah: “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Ku-berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu berasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).”

Selain itu Allah juga berfirman dengan memerintahkan agar manusia sentiasa berpegang dengan janjinya atau melaksanakan kesetiaan dalam berjanji, seperti dalam surah al-Nahl ayat 91: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji.”

Rasulullah SAW juga bersabda dalam menggalakkan kesetiaan ketika berjanji. Daripada hadis diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin Somit: “Jamin kepadaku enam perkara akan aku jamin kepadamu syurga – berkata benar apabila kamu berkata-kata, penuhi janjimu ketika berjanji, tunaikan amanah apabila kamu diberi kepercayaan, pelihara kehormatanmu, tundukkan pandanganmu dan tahan tanganmu daripada kejahatan.”

Kesetiaan Nabi Muhammad SAW yang paling agung ialah kepatuhan baginda menyampaikan segala ajaran Islam sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT. Kesetiaan baginda sebagai hamba yang sentiasa bersyukur juga terserlah apabila ditanya oleh seorang sahabat yang melihat kesan yang berlaku pada kaki nabi ekoran terlalu lama bersolat malam, baginda menjawab: “Salahlah untuk aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Sifat kesetiaan yang diperoleh seorang Muslim itu ketika berpuasa hendaklah disuburkan dalam setiap aktiviti dan tindak-tanduk mereka khususnya berkaitan dengan iman dan ibadah. Ia sudah pasti mendatangkan kelebihan yang bermanfaat sama ada berbentuk duniawi mahupun ukhrawi.

Beristiqamah dalam menunaikan segala amanah dan kepercayaan adalah satu tugas yang berat, namun pasti membuahkan hasil yang lumayan seperti Allah akan mempermudahkan untuk melakukan kebaikan dan perkara makruf, digolongkan dalam golongan yang terpuji sebagaimana disebut dalam al-Quran, dianugerahkan dengan kebahagiaan hakiki serta dijanjikan balasan syurga oleh Allah SWT.-UTUSAN

DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Ketua Jabatan Syariah & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya