SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, kita diperingatkan oleh banyak golongan tentang bahaya rasuah pada sesebuah negara. Sedar atau tidak, sebenarnya mereka yang mengambil atau penerima rasuah ini boleh dikategorikan sebagai tiga golongan.
Saya ambil contoh daripada filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Tiga Abdul. Pertama, golongan Abdul Wahab bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia ambil, dia buat harta. Golongan ini sangat bahaya.
Kedua, golongan Abdul Wahid. Bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil tetapi dia tak buat laporan pada pihak berkuasa. Golongan ini pun bahaya juga sebab dia pentingkan diri.
Ketiga, golongan Abdul Wahub. Bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil, dan dia buat laporan pada pihak berkuasa. Inilah sebenarnya tiga golongan yang wujud apabila ditawarkan rasuah.
Saya sangat mengharapkan dan berdoa kepada Tuhan supaya seluruh rakyat Malaysia mempunyai sikap seperti Abdul Wahub. Dia tengok kejadian rasuah tetapi dia tidak ambil dan dia juga buat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Negara boleh hancur kerana rasuah. Pelajar sekolah dan menengah harus diterangkan bahaya rasuah seumpama bahaya najis dadah.
Ini kerana kepimpinan negara suatu masa nanti terletak atas bahu mereka. Jika diajar asas agama Islam tentang hukuman berat bagi pengamal rasuah, saya percaya bakal-bakal pemimpin muda kita pada masa hadapan ini takut untuk terlibat dengan rasuah.
Jangan tak percaya, negara pun boleh kena jual jika rasuah menjadi budaya sesebuah negara. Katakan ‘tidak’ pada rasuah.
Akhir sekali, tangkap juga orang yang menawarkan rasuah sekiranya siasatan mendapati dia memang memberi rasuah untuk kepentingan dirinya.
Tetapi dia tidak perlulah dihukum sekiranya tujuan dia memberi rasuah adalah untuk memerangkap kaki rasuah. – UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH, Kepala Batas, Pulau Pinang