TASEK GELUGOR : Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum semua aduan atau pandangan yang disuarakan oleh pesawah khususnya berkaitan kenaikan kos penanaman padi ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua maklumat tersebut akan dibincang di peringkat kementerian dalam mesyuarat yang akan datang.
“Kita sentiasa sensitif (terhadap sebarang maklum balas yang diterima). Apa yang mereka (pesawah) tuntut, itu kita kena tengok juga kepada kepadanan perbelanjaan dan sebagainya.
“Misalnya, kita lihat sekarang ini, di peringkat hendak membajak. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri telah luluskan bantuan sebanyak RM200 kepada pesawah yang hendak mula membajak. Itu yang kita perlu lihat iaitu (dari segi) kepentingan dari semasa ke semasa.
“Memanglah, kita akui bahawa subsidi ini pun duit rakyat. Tetapi, kita kena lihat keseimbangan dari semua segi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Guar Petai di sini, hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) yang mendakwa kos penanaman padi di seluruh negara kini dikatakan melambung sehingga mencecah antara RM6,000 ke RM7,000 per hektar berikutan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, rakyat perlu tahu kesan yang dihadapi sekiranya negara terus bergantung kepada bahan makanan yang diimport seperti jagung, soya, beras dan bawang ketika ini.
“Kalau berlaku kenaikan harga jagung dan soya yang diimport itu, bagaimana pula dengan harga ayam dan telur pada masa akan datang? Buat masa sekarang ini, dia boleh bertahan lagi. Jadi, kita kena ‘berterus terang’ kepada rakyat.
“Apapun, kita akan pantaulah. Kalau berlaku kenaikan sekali pun, kita harap tak ada manipulasi. Tetapi, setakat ini, Alhamdulillah. Semua berada dalam tahap yang masih terkawal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memaklumkan, KPKM telah memperuntukkan sebanyak RM700,000 bagi menjayakan program KAM dan SAM dengan RM500,000 daripada jumlah tersebut diperuntukkan bagi tujuan pembangunan serta kesejahteraan Kampung Guar Petai di sini.
“Sebanyak RM100,000 pula disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora bagi menaik taraf kemudahan pendidikan manakala baki RM100,000 lagi merupakan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian untuk pelajar sekolah,” katanya.-UTUSAN










