Racun tanaman ‘bunuh’ lebah

Racun tanaman ‘bunuh’ lebah

MASIH banyak yang perlu dilakukan oleh semua pihak dalam melestarikan penternakan lebah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MADU adalah salah satu produk hasilan makanan oleh serangga jenis lebah melalui penternakan secara terancang.

Di Slovenia, penternakan lebah merupakan sebahagian daripada budaya di mana seorang daripada setiap 200 penduduk bekerja sebagai penternak atau penjaga sarang lebah.

Di Malaysia, penternakan lebah dan penggunaan madu sebagai makanan untuk kesihatan juga tidak asing. Madu adalah satu-satunya makanan yang dinamakan dengan jelas sebagai ubat di dalam al-Quran.

Namun, tahap kesedaran masyarakat tentang penternakan lebah yang lestari dalam menghasilkan madu masih rendah. Masih banyak pokok di kawasan hutan yang ditebang dalam usaha mendapatkan sarang lebah.

Di samping itu, penggunaan racun keterlaluan dalam aktiviti pertanian secara umumnya juga masih berleluasa yang memberikan kesan terhadap pembiakan lebah dan penghasilan madu.

Sepatutnya dengan meningkatkan penternakan lebah, bilangan pokok yang ditanam semakin meningkat, hasil pertanian semakin bertambah dan kualiti udara semakin bersih.

Potensi madu lebah terutama spesies kelulut adalah sangat besar. Melihat akan potensinya, pada 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melancarkan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 bagi meningkatkan pendapatan penternak.

Terbaru, saya dan rakan saintis dari The University of Queensland menemukan gula trehalulosa ketika mengkaji kandungan madu kelulut.

Ia adalah sejenis gula disakarida yang sangat jarang ditemui dalam kuantiti banyak daripada mana-mana sumber semula jadi selain madu daripada kelulut.

ALKOHOL

Penemuan ini membuktikan masih banyak yang belum diketahui tentang kandungan nutrisi dan komponen nutrien dalam madu yang kehadirannya masih baharu dalam industri makanan di Malaysia.

Banyak juga kajian saintifik lain yang membuktikan madu ini mempunyai kandungan antioksida, antibakteria dan vitamin serta mineral tinggi dan baik untuk kesihatan.

Justeru, pembangunan kaedah penternakan kelulut yang lestari juga perlu dijadikan fokus utama oleh kerajaan. Selain penternakan, kaedah pemprosesan, penjualan dan pemakanan madu perlu diberi perhatian dalam memastikan industri ini bersifat lestari.

Kaedah pemprosesan madu haruslah dalam keadaan bersih dan suhu yang optimum bagi memastikan kualiti tinggi. Madu kelulut mempunyai kandungan air yang tinggi dan memerlukan pemantauan suhu yang ketat bagi memastikan alkohol tidak terhasil akibat proses penapaian.

Kerajaan juga perlu membuat pemantauan terhadap penjualan madu palsu yang banyak dijual di pasaran. Langkah sebegini dapat memberi motivasi kepada penternak yang menjual madu asli untuk terus mengekalkan pengeluaran mereka.

Permintaan yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah juga menyumbang kepada kelestarian di mana penternakan lebah dan harga madu dapat dikawal dengan baik.

Kesimpulannya, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh semua pihak dalam melestarikan penternakan lebah dan menjadikan madu sebagai makanan yang lestari. – UTUSAN

DR. NORHASNIDA ZAWAWI, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya