Pulihara bahasa, budaya masih relevan

Pulihara bahasa, budaya masih relevan

PANTUN di Malaysia dan Indonesia telah diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara kemanusiaan oleh UNESCO. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SIMPOSIUM Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bermula esok hingga 24 Mei ini bertujuan membawa cerdik pandai tempatan dan antarabangsa untuk ‘duduk semeja’ bagi membincangkan keberadaan bahasa Melayu dan tempatnya di persada dunia.

Sebenarnya, bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa antarabangsa. Sebaliknya, kita yang lalai menjaga keberadaan bahasa Melayu. Kita sendiri yang masih tidak mementingkan bahasa kebangsaan setelah sekian lama.

Kekuatan bahasa Melayu mestilah dihayati dalam bentuk budaya seperti pementasan dan perfileman, bukan semata-mata di bilik darjah atau sekolah. Oleh itu, agensi kerajaan mesti mendukung cita-cita ini dan menyokong industri kreatif berpaksi bahasa dan budaya Melayu.

Kita mestilah serius dalam menguatkan penggunaan bahasa Melayu dalam industri kreatif. Tidak boleh ada segelintir masyarakat yang tidak fasih atau segan silu menggunakan bahasa Melayu.

Saya juga sedih sebenarnya memikirkan soal bahasa telah menjadi isu politik dua negara. Kita boleh pula menggunakan kaedah kerjasama kedua negara bagi memasukkan pantun dalam Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2019.

Kerjasama ini harus diperluaskan dengan pihak berkepentingan di peringkat serantau perlu duduk semeja memikirkan semua faedah dan kelebihan memperkasa bahasa Melayu.

TRAGEDI

Demi mencapai agenda murni ini, saya cadangkan lima langkah penting menerajui agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Pertama, perlu wujud kekuatan dasar tentang bahasa dan budaya terutama dari segi implementasi dan kedua, harus ada kekuatan bahasa dan budaya dalam pendidikan.

Ketiga, diperkasakan bahasa dan budaya dalam masyarakat melalui industri jingga atau kreatif. Berilah belanjawan yang lebih pada agensi berkaitan untuk melestarikan budaya tradisional.

Keempat, harus ada kekuatan bahasa dan budaya melalui kesefahaman serantau dan kelima, wujudkan kekuatan promosi bahasa dan budaya Melayu di persada antarabangsa.

Mari kita lihat di luar sana bagaimana Korea Selatan membawa bahasa dan budaya mereka ke seluruh dunia. Suatu masa dahulu, Korea Selatan melihat ke Malaysia untuk inspirasi. Kini satu dunia melihat negara itu sebagai mercu tanda kejayaan.

Mereka mempamerkan kekuatan budaya dalam segala segi termasuk perfileman serta teknologi. Filem Korea Selatan, Parasite memenangi kategori filem terbaik Anugerah Akademi pada 2019, satu kejayaan luar biasa oleh sebuah filem asing.

Ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan tetapi melalui dasar kebudayaan terperinci bertahun-tahun lamanya. Selepas krisis ekonomi 1997, kerajaan Korea Selatan menguatkan dasar kebudayaannya.
China juga sama.

Selepas tragedi berdarah di Dataran Tiananmen, Beijing pada 1989, satu langkah drastik diambil yang melihat negara itu bertukar wajah dan kejayaan demi kejayaan menjadi milik mereka dalam dunia kreatif, sains dan teknologi, apatah lagi ekonomi.

Sebenarnya, tanpa kekuatan budaya, kita tidak mungkin mencapai kekuatan ekonomi bagi membangunkan negara. – UTUSAN

NINOT AZIZ, Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya