Pelajar UUM terkejut ura-ura yuran naik - Utusan Malaysia

Pelajar UUM terkejut ura-ura yuran naik

KEGEMBIRAAN pelajar untuk kembali ke kampus bagi mengikuti sesi pembelajaran secara semuka ‘mati’ selepas mengetahui ura-ura pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) mahu menaikan yuran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PARA pelajar akan kembali ke kampus selepas perayaan Aidilfitri bagi pembelajaran secara bersemuka selepas hampir dua tahun tidak menjejakkan kaki di universiti ekoran ancaman Covid-19,
Disebalik keterujaan pulang ke kampus, kami dikejutkan dengan ura-ura bahawa Universiti Utara Malaysia (UUM) mahu menaikan yuran perkhidmatan pelajar sarjana muda sehingga 30 peratus. Hal ini sedang dirancang oleh pihak universiti.

Sumber beberapa rakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyatakan Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah sudah memberi persetujuan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), Profesor Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Haris.

Rakan MPP turut memaklumkan, pihak pengurusan universiti sedang mencari justifikasi kenaikan yuran ini dengan membuat perbandingan dengan universiti swasta di seluruh negara kerana yuran perkhidmatan di UUM masih lagi rendah.

Dalam satu dokumen BSD, Semakan dan Penstrukturan Yuran Perkhidmatan Pelajar Sarjana Muda Sesi September 2022/23 yang diedarkan kepada beberapa pemimpin pelajar menyatakan tujuan menyusun struktur yuran sedia ada bagi memenuhi keperluan dan pengajaran.

Mengapa pihak universiti mahu merompak baki duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kami yang sangat sedikit selepas ditolak yuran pengajian?
Carilah kaedah-kaedah kreatif lain untuk menjana kewangan, bukan merompak duit pelajar selepas pihak universiti mengalami kerugian besar ekoran bencana Covid-19.

Difahamkan, antara yuran perkhidmatan yang akan dinaikkan termasuklah pendaftaran, suaikenal, alumni, pemeriksaan kesihatan, kebajikan, perpustakaan dan penginapan.

Kami mohon Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang sangat prihatin dengan kebajikan pelajar dapat campur tangan dalam isu ini sekali gus membatalkan tindakan pihak pengurusan universiti.

Sesungguhnya ramai lagi yang masih bergelut dengan pendapatan yang terhad termasuk ibu bapa dalam kumpulan B40 yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sekali lagi kami memohon pihak kementerian mengambil tindakan tertentu untuk melegakan perasaan kecewa pelajar.-UTUSAN

PELAJAR YANG TERKESAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN