Saya tidak akan buat rayuan - Ikmal Hisham - Utusan Malaysia

Saya tidak akan buat rayuan – Ikmal Hisham

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Beliau mendakwa, tindakan tersebut dilakukan bagi menghalangnya daripada bertanding Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Saya menerima keputusan Lembaga Disiplin Bersatu itu dengan hati terbuka dan tanpa sebarang penyesalan. Malah saya juga tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

“Ia disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh saya boleh dipersoalkan. Apakah salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan?.

“Begitulah juga apabila saya didapati bersalah menghadiri Program Aidilfitri RESET. Saya hairan kenapa kehadiran ke majlis seumpama itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim dan meraikan Aidilfitri dianggap satu kesalahan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ikmal Hisham, beliau akan terus bersuara atas nama Perikatan Nasional (PN).

“Surat daripada Lembaga Disiplin menegaskan, semua jawatan saya dalam  Bersatu dilucutkan dan saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti tersebut.

“Saya tegaskan, saya sama sekali tidak ada masalah berhubung arahan itu. Ia disebabkan saya masih lagi Ahli Parlimen PN dan paling penting saya bertanding pada PRU-15 menggunakan lambang Pas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, beliau tetap akan bertanding pada PRU-16 walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu di Tanah Merah.

“Saya tegaskan bukan Bersatu yang akan tentukan saya boleh bertanding atau tidak dalam PRU-16.

“Sebaliknya rakyat Tanah Merah paling berhak menentukannya memandangkan mereka jauh lebih memahami apa yang saya lakukan sepanjang menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan. 

“Oleh itu Insha-Allah saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN