Dua tekong darat lari tinggalkan 20 PATI selepas diserbu PGA - Utusan Malaysia

Dua tekong darat lari tinggalkan 20 PATI selepas diserbu PGA

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan PGA dalam serbuan di kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Dua tekong darat melarikan diri dengan meninggalkan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra, di sini semalam.

Serbuan pukul 8 pagi itu membawa kepada tangkapan PATI berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan menerusi Op Taring Delta bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas anggota bertugas terserempak dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, susulan itu anggota bertindak mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu terbabit bertindak memasuki kawasan parkir Masjid Sultan Ismail Petra sebelum memberhentikan kenderaan dan melarikan diri.

“Anggota bertindak mengejar suspek namun gagal mengesannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam dua kenderaan jenis Toyota Innova dan Nissan Serena itu menemukan 20 lelaki warga Myanmar yang dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.

Katanya, seramai tujuh daripada mereka mengemukakan pasport, namun pemeriksaan mendapati tiada cop kemasukan sah ke Malaysia manakala 13 lagi gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua PATI memasuki negara ini dengan menaiki bot melalui Sungai Golok sebelum dipercayai mendarat di sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang.

“Mereka dipercayai dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000 mengikut destinasi yang dituju,” ujarnya.

Ahmad Radzi memberitahu, PGA turut merampas 22 telefon bimbit pelbagai jenis selain dua buah kenderaan yang digunakan untuk membawa PATI tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN