Jangan terburu-buru dengan generasi penamat

Jangan terburu-buru dengan generasi penamat

ADAKAH kedai makan di Malaysia yang sepatutnya bebas aktiviti merokok satu realiti atau hanya khayalan? – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA Januari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat pihaknya untuk mewujudkan generasi baharu yang bebas daripada tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik (vape) melalui kaedah generation end game (generasi penamat).

Ini bermakna akan terdapat satu generasi yang tidak lagi terdedah kepada rokok dan diharapkan ia akan berlanjutan terhadap generasi seterusnya.

Pelbagai pihak memberi komen terhadap hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan generasi penamat ini dengan ramai menyokongnya tetapi pada masa sama, ada yang memberi amaran tentang pelbagai rintangan yang bakal dihadapi kerajaan.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa pelan KKM untuk melarang penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 2005 adalah satu langkah yang tepat.

Tetapi adakah kerajaan sedar bahawa langkah ini penuh dengan pelbagai cabaran dan loophole (lubang) yang boleh menggagalkan hasrat untuk mewujudkan masyarakat bebas rokok?

Langkah drastik untuk mengharamkan penjualan semua produk vape dan rokok kepada generasi muda terbabit akan menyebabkan sindiket penyeludupan mungkin melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan lagi aktiviti haram mereka.

Jika rokok seludup yang murah boleh sampai ke tangan generasi muda, masalah ini mungkin akan lebih berleluasa berbanding sekarang.

Saya juga terbaca bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara dengan kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia dengan hampir 60 peratus daripada rokok dalam pasaran merupakan rokok seludup.

Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membendung kegiatan ini tetapi nampaknya ia kurang efektif. Kerajaan juga dikatakan kehilangan RM5 bilion hasil cukai setiap tahun akibat penyeludupan rokok.

TEGAR

Dalam pada itu, tabiat merokok mungkin berkurangan dalam kalangan perokok muda yang diberi tumpuan oleh kerajaan tetapi perokok dewasa yang masih merokok berkemungkinan menjadi perokok tegar kerana kurang pengawasan oleh pihak berkuasa.

Mungkin ada yang akan berkata bahawa terdapat banyak undang-undang untuk mengawal aktiviti merokok tetapi adakah ia berkesan sekarang?

Penjualan rokok memang diharamkan kepada mereka yang berusia di bawah umur 18 tahun tetapi kita semua boleh lihat betapa ramainya anak muda kita terjebak dalam aktiviti memudaratkan ini.

Lihatlah di Bhutan yang mengharamkan penjualan rokok sejak 2004 tetapi aktiviti penyeludupan rokok berkembang pesat dan ramai golongan belia negara itu terjebak dengan tabiat ini.

Singapura juga mengharamkan vape sejak 2018 tetapi ia melaporkan hampir 10,000 kes pengimportan haram dan penjualan produk berkenaan antara 2018 dan 2020.

Kalau ini boleh berlaku di republik itu yang menguatkuasakan undang-undang dengan ketat, bayangkan apa yang boleh berlaku di Malaysia?

Kajian menunjukkan bilangan perokok di negara kita juga semakin meningkat dengan 4.8 juta orang pada 2021 berbanding 4.7 juta pada 2011.

KKM juga melarang merokok di kedai makan sejak beberapa tahun lalu. Jadi, kedai makan di Malaysia patut bebas rokok tetapi adakah ini satu realiti?

Penguatkuasaan undang-undang seperti ini memang sukar kerana kekangan kakitangan. Bagaimana pula dengan pemantauan kedai-kedai yang menjual rokok kepada mereka yang lahir selepas 2005?

Saya menyeru kepada kerajaan supaya melakukan kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan dasar bagi mewujudkan generasi penamat ini. – UTUSAN

MUSTAPHA AHMAD, Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya