Jangan pandang sebelah mata krisis Sri Lanka

Jangan pandang sebelah mata krisis Sri Lanka

SITUASI politik di Sri Lanka wajar dijadikan pengajaran buat pemimpin politik agar Malaysia tidak terpalit dengan masalah sama. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SRI Lanka dahulu terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur tetapi berubah sepenuhnya selepas rakyatnya berani bertindak merusuh dan memberontak gara-gara politik kacau- bilau akibat krisis ekonomi yang merudum.

Hal ini disebabkan pemimpin politik negara itu mengamalkan budaya korupsi, salah guna kuasa serta berbelanja besar untuk membina infrastruktur yang tidak masuk akal selain lebih banyak mendatangkan kerugian kepada negara dan rakyat.

Situasi di Sri Lanka itu diharapkan dapat membuka mata dan menyedarkan para pemimpin serta ahli politik di negara ini.

Ini kerana keadaan hampir serupa sedang berlaku di Malaysia tetapi di sini terkawal memandangkan masih terdapat pemimpin politik yang berjiwa rakyat, peka terhadap nasib dan kepentingan hidup rakyat.

Namun, usah pandang sebelah mata ataupun menganggap ia suatu fenomena terpencil kerana apa yang berlaku di Sri Lanka berkait rapat dengan krisis makanan secara global.

Rekod menunjukkan Malaysia masih mengimport 60 peratus daripada keperluan sumber makanan termasuk bijirin dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Mengikut statistik, Malaysia hanya menghasilkan 46 peratus sayur-sayuran, beras (70 peratus), buah-buahan (61 peratus) dan daging kambing (11 peratus). Terbaharu, sekatan eksport makanan di India akibat gelombang haba secara tidak langsung akan mengurangkan bekalan global dan ini boleh mendorong pengeluar makanan tempatan menaikkan harga.

Lebih memburukkan keadaan apabila sikap kebanyakan pemborong atau pembekal makanan sengaja menyorokkan keperluan barang makanan dengan memberikan alasan stok bekalan berkurangan sedangkan mereka menunggu untuk menaikkan harga barang.

Pada masa sama, kos sara hidup akan meningkat secara mendadak dan ia memberi kesan kepada golongan B40 atau peniaga kecil dan graduan menganggur.

Justeru, peristiwa buruk di Sri Lanka diharap dapat menginsafikan serta menyedarkan semua pemimpin politik negara ini agar peka dan tidak bersikap gelojoh kerana asyik memikirkan kepentingan sendiri sedangkan rakyat terseksa.-UTUSAN

MUZAKKIR IBADURRAHMAN
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya