HFMD: Elak bawa anak ke tempat awam - Utusan Malaysia

HFMD: Elak bawa anak ke tempat awam

KERAJAAN boleh mengenakan larangan sementara untuk kanak-kanak berada di tempat awam bagi mengurangkan kes HFMD. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUTAKHIR ini, akhbar melaporkan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini adalah pada kadar membimbangkan berikutan peningkatan kes jangkitan di setiap negeri.

Pada 17 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 4,421 kes sementara negeri-negeri lain kurang daripada 1,500 kes.

Realitinya, HFMD bukanlah suatu penyakit yang baharu bahkan pada 2018 lagi, negara ini mencatatkan peningkatan kes dan ia menjangkiti golongan dewasa selain kanak-kanak.

Bagi mencegahnya, kerajaan boleh mengenakan peraturan larangan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun daripada berada di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan kes HFMD.

Jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak disebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pencemaran silang bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau kontaminasi daripada tangan individu yang tersentuh cecair tersebut tetapi tidak dicuci dengan bersih memungkinkan peningkatan mendadak kes.

Dalam pada itu, ibu bapa atau penjaga yang diberi cuti kuarantin perlu amanah dan bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan cuti khas tersebut untuk pulang ke kampung, bercuti ke tempat peranginan, membeli-belah dan sebagainya.

Pada Mac lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menambah baik kemudahan cuti kepada penjawat awam bagi menjaga anak yang menghidap penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin dan pengasingan.

Antara penyakit yang layak mendapat cuti kuarantin adalah HFMD, demam denggi, campak, difteria dan malaria.

DENDA

Kadar bilangan hari cuti adalah maksimum lima hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang diberikan oleh mana-mana pegawai perubatan kerajaan atau swasta.

Dalam masa sama, saya mengesyorkan kerajaan mengenakan denda kepada ibu bapa yang menyalahgunakan cuti kuarantin yang diperoleh.

Denda boleh dibuat dalam bentuk potongan elaun oleh majikan atau pembatalan rebat tertentu dalam cukai pendapatan.

Sekiranya kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.

Jika ibu bapa atau penjaga tidak prihatin terutama bersifat ala kadar semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku.

Tahap kebersihan kanak-kanak juga bergantung oleh ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing.

Kebersihan tangan terutama selepas membersihkan anak-anak yang membuang air besar perlu menggunakan air dan sabun.

Jangan gunakan cecair pembasmi kuman dan tisu basah semata-mata kerana tidak memadai untuk membersihkan ruang permukaan yang perlu dibersihkan.

Justeru, elakkan kanak-kanak dibawa ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai bagi menghindari mahupun merebakkan jangkitan selain perlu mendapatkan air minuman yang cukup serta vitamin C untuk menggalakkan sistem imun badan berfungsi secara optimum. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya