Henti buli pekerja muda, bawahan di pejabat

Henti buli pekerja muda, bawahan di pejabat

BULI boleh berlaku melalui pelbagai cara sama ada berbentuk fizikal, lisan atau penulisan. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan masalah buli melibatkan doktor pelatih di negara ini. Isu buli di tempat kerja bukan satu masalah yang jarang kita dengar. Hampir setiap tahun kita akan digemparkan dengan isu ini.

Ia boleh dikatakan berlaku di setiap jenis sektor pekerjaan. Selalunya mangsa yang dibuli terdiri dalam kalangan pekerja muda, baru mula bekerja dan kakitangan bawahan.

Pembuli pula adalah dalam kalangan mereka yang sudah lama bekerja dan memiliki kuasa di sesebuah syarikat atau organisasi termasuk majikan, rakan sekerja ataupun pihak ketiga seperti tetamu atau pelanggan.

Buli boleh berlaku melalui pelbagai cara sama ada berbentuk fizikal, lisan, penulisan, tekanan mental, psikologi, emosi dan lain-lain lagi.

Dengan kewujudan teknologi komunikasi moden dan internet pada masa kini, buli juga boleh berlaku secara dalam talian melalui media sosial, e-mel dan lain-lain.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh memberi ruang kepada kegiatan buli berlaku di sesebuah tempat kerja seperti usia mangsa, jantina, kaum, agama, tahap pendidikan dan pengalaman bekerja.

Buli biasanya melibatkan pekerja muda kerana golongan ini dianggap terdesak untuk kekal berada dalam pekerjaan dan tidak akan melawan segala perkara buruk terhadap diri mereka.

Oleh yang demikian, pekerja lama ini berasa bebas untuk membuat apa sahaja terhadap pekerja baharu atau lebih muda.

Sekiranya tiada langkah pencegahan awal diambil, masalah ini akan berterusan sehingga memberi kesan buruk kepada mangsa dan menjejaskan nama baik syarikat dan organisasi terlibat.

Mangsa buli yang hanya berdiam diri dengan tekanan mental dan emosi yang dialami akan mula menghadapi masalah kesihatan.

Mereka akan hilang minat terhadap kerja dan ada juga yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan merokok bagi menghilangkan tekanan serta mungkin cuba membunuh diri.

KPI

Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Adalah penting majikan memastikan syarikat dan organisasi mereka bebas daripada isu buli bagi mengelak wujud tekanan berpanjangan terhadap pekerja.

Majikan juga perlu patuh dengan segala peruntukan undang-undang serta polisi berkaitan dengan tempat kerja bagi mengelak wujud sebarang ruang yang memungkinkan berlaku pembulian.

Ini termasuk Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan lain-lain lagi.

Selain itu, majikan perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada pekerja. Jangan bebankan mereka dengan pelbagai jenis tugasan di luar kemampuan.

Adalah penting majikan merangka petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan keadaan tempat kerja masing-masing.

Majikan juga mesti memberi penghargaan terhadap pekerja yang telah melaksanakan tugasan diberikan dengan baik.

Sebagai balasan, pekerja mesti melaksanakan sesuatu pekerjaan yang telah diamanahkan dengan baik.

Budaya toleransi, kerjasama serta sifat faham memahami satu sama lain antara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang tekanan serta bebas daripada kegiatan pembulian.

Mangsa buli di tempat kerja juga harus berani bersuara bagi mendedahkan masalah dialami oleh mereka. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.