SAUDARA PENGARANG,
DATA terbaharu yang direkodkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) Malaysia menunjukkan terdapat 182,000 pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara di negara ini dengan tertinggi adalah etnik Rohingya dari Myanmar iaitu kira-kira 156,110 orang.
Adalah lebih baik sekiranya perbelanjaan berjumlah ratusan juta ringgit bagi menjaga kebajikan mereka serta menyediakan tempat tahanan sementara disalurkan untuk membantu rakyat tempatan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Rekod bantuan negara ini terhadap etnik Rohingya sememangnya cukup cemerlang. Namun, sifat mulia dan nilai keprihatinan yang tinggi kepada semua warga asing mendatangkan kesan buruk kepada rakyat tempatan sendiri.
Apa yang dikesalkan, Malaysia sering dibiarkan bersendirian dalam menangani isu pelarian Rohingya ini.
Jalan terbaik adalah dengan membawa perkara ini ke peringkat ASEAN untuk diselesaikan secara bersama namun ia tidak berlaku.
Harus diingat, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus berhak untuk menerima atau menolak kemasukan pelarian asing ke negara ini.
Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan mereka yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara sebelum ditempatkan di negara ketiga.
Namun, yang menjadi masalah kini ialah bukan sekadar tempat tinggal sementara sebaliknya pelarian bermastautin hingga melewati 15 atau 20 tahun tanpa ada negara ketiga yang sanggup menerima mereka.
Di pihak UNHCR pula, mereka menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab kepada kerajaan Malaysia setelah kad pelarian dikeluarkan tanpa bantuan lainnya.
Negara-negara ketiga yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia berlepas tangan dalam isu ini. Mereka tidak sanggup memikul tanggungjawab sepertimana Malaysia.
Situasi ini amat difahami kerana pelarian Rohingya tidak memberi apa-apa keuntungan jangka panjang kepada negara-negara Barat berkenaan. – UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya