Tiket dalam talian KTMB susahkan warga emas

Tiket dalam talian KTMB susahkan warga emas

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu menambah baik sistem pembelian tiket sedia ada bagi memudahkan warga emas menikmati faedah yang ditawarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGANGKUTAN awam sepatutnya berada pada tahap paling efisien jika mahu rakyat terus menggunakan perkhidmatan tersebut. Efisien bukan sahaja diukur pada tahap ketepatan masa, keselesaan, namun turut berkait perkhidmatan di kaunter seperti pembelian tiket.

Saya kecewa dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila sistem pembelian tiket menyukarkan golongan warga emas yang memilih untuk menaiki kereta api bagi perjalanan jauh.

Difahamkan bakal penumpang terutama warga emas yang mahu membuat pembelian tiket perlu mendaftar melalui KTMB Integrated Ticketing System (KITS) yang diperkenalkan pada 2020 bagi mendapatkan harga konsesi. Hal itu dilihat melecehkan sedangkan ada cara lain yang jauh lebih mudah.

Setiap warganegara wajib mempunyai kad pengenalan dan ia merupakan rujukan penting dalam apa jua perkara termasuk dalam pembelian tiket kereta api. Bagi isu ini, bakal penumpang boleh menunjukkan MyKad dan kad pesara bagi mendapat keistimewaan seperti potongan harga yang ditawarkan tanpa perlu menyusahkan mereka dengan sistem pendaftaran secara dalam talian.

Jika berterusan begini, agak sukar bagi warga emas terutama yang kurang arif mengenai teknologi maklumat (IT) untuk menggunakan perkhidmatan KTMB. Malah, sistem ini juga seolah-olah memaksa pelanggan yang tiada e-mel perlu memilikinya.

KTMB perlu lebih peka terhadap keperluan warga emas dengan menambah baik sistem sedia ada. Janganlah hanya semata-mata mahu nampak moden dan ke depan tetapi terlepas pandang kekangan yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah pihak sehingga ia dilihat gagal memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Langkah penambahbaikan perlu segera dilaksanakan kerana jika ia berterusan akan menggagalkan usaha kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus tidak dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, peningkatan masa perjalanan, risiko kemalangan jalan raya dan sebagainya. – UTUSAN

WARGANEGARA KECEWA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya