Tabiat mahu jubin berkilat cemar sumber air

Tabiat mahu jubin berkilat cemar sumber air

PERKEMBANGAN teknologi pengepaman membolehkan kita menggunakan air bawah tanah dengan mudah. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TABIAT masyarakat yang mahukan jubin bilik mandi rumah mereka sentiasa berkilat boleh mencemarkan sumber bekalan air bawah tanah yang mempunyai potensi besar mengurangkan masalah kekurangan bekalan air di negara ini.

Perkara itu boleh berlaku kerana orang ramai beranggapan bahawa bahan kimia diperlukan untuk kebersihan yang mantap dan mungkin dapat menjadikan jubin kelihatan berkilat tanpa menyedari penggunaannya akan menjejaskan alam sekitar.

Oleh itu, kurangkan penggunaan bahan kimia di rumah atau tukar kepada produk pembersihan semula jadi. Barangan yang terdapat di rumah seperti jus lemon, serbuk penaik dan cuka juga bagus digunakan untuk pembersihan.

Bahan-bahan tersebut bukan sahaja mesra alam tetapi juga menjimatkan. Dalam pada itu, menyentuh Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, tema pada tahun ini adalah Menjadikan Yang Tidak Nampak Kelihatan merupakan satu usaha untuk menyerlahkan kepentingan air bawah tanah yang selalunya tidak kelihatan tetapi kesannya boleh dilihat secara meluas.

Air bawah tanah memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita dan pembangunan ekonomi sambil memastikan kelestarian alam sekitar. Air bawah tanah ialah air yang terdapat di celah-celah dan ruang dalam tanah, pasir dan batu di bawah permukaan bumi.

Pembentukan geologi tanah, pasir dan batu ini dipanggil akuifer. Proses utama kitaran air bawah tanah adalah penyerapan air hujan ke dalam tanah dan alirannya di dalam batuan dan akhirnya aliran keluar secara semula jadi di mata air dan ke dalam sungai.

Perkembangan dalam teknologi pengepaman membolehkan kita mencapai dan menggunakan air bawah tanah di mana ia boleh menambah bekalan air di kawasan yang mempunyai air permukaan terhad.

RACUN

Di Malaysia yang beriklim tropika, simpanan air bawah tanah dianggarkan sebanyak 5,000 bilion meter padu dan kurang dua peratus daripada simpanan semasa telah digunakan.

Penggunaan air bawah tanah di Malaysia masih agak rendah kerana air permukaan merupakan sumber utama bekalan air di mana kebanyakan negeri menggunakan air permukaan untuk memenuhi permintaan air yang pelbagai.

Penggunaan air bawah tanah yang kurang menawarkan potensi yang tinggi untuk kegunaan pada masa depan dan oleh itu, kita perlu memeliharanya dengan betul.

Kita mesti belajar bagaimana untuk mencegah pencemaran air bawah tanah yang boleh menyekat dan menjejaskan penggunaannya pada masa akan datang.

Sekiranya kita tidak mengambil tindakan untuk memelihara air bawah tanah yang merupakan sumber air terbesar di dunia, daya maju akuifer mungkin terancam yang langsung akan menyebabkan masalah dalam pelbagai sektor seperti kesihatan awam.

Tabiat harian kita boleh menyebabkan pencemaran air bawah tanah yang boleh mengeringkan akuifer lebih cepat daripada pengisian yang berlaku secara semula jadi dan apabila akuifer kering, ia akan hilang selama-lamanya sebagai sumber air.

Antara cara-cara untuk kita melindungi dan memelihara air bawah tanah adalah apabila bercucuk tanam, cuba hadkan penggunaan racun perosak atau baja kimia untuk taman anda.

Selain itu, pasang sistem penapisan air di rumah untuk menapis air terpakai sebelum mengalirkannya keluar. – UTUSAN

KOO ZAO CHEONG,  Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau, Waterco Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya