KOTA BHARU: Seluruh pemain dan kempimpinan pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mendoakan pemain sayap kebangsaan dan Selangor FC Faisal Halim diberikan kesembuhan segera selepas menjadi mangsa simbah asid hari ini.
Selain itu, KDN FC turut mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Pemain-pemain bola sepak serta atlet mana-mana disiplin sukan adalah aset negara yang perlu dijaga. Mereka adalah individu yang akan mengharumkan nama Malaysia di setiap kejohanan atau acara sukan.
“Justeru KDN FC berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini agar kejadian sama tidak berlaku lagi kepada pemain bola sepak atau atlet sukan lain pada masa akan datang,” ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
KDN FC memberitahu, berharap perbuatan tersebut dapat dibendung dengan kadar segera kerana ia melibatkan soal keselamatan.
Katanya, KDDN FC menyeru semua pemain bola sepak dan atlet sukan untuk sentiasa menjaga diri serta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika merasa diri mereka tidak selamat atau terancam.
Media hari ini melaporkan, Selangor FC mengesahkan pemain sayap pasukannya, Faisal Halim telah menjadi mangsa simbah asid hari ini.
Susulan perkara itu, pihaknya juga akan bertegas dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan ‘dalang utama’ insiden membabitkan pemainnya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.
“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan Facebook.-UTUSAN










