fbpx

RM1,500 bukan peningkatan besar

STRATEGI majikan supaya pekerja berpendapatan paling rendah terus dibayar gaji rendah adalah satu manipulasi yang perlu dihentikan. – GAMBAR HIASAN/AFP

SAUDARA PENGARANG,

UNDANG-UNDANG gaji minimum diperkenalkan berikutan kegagalan dan penyalahgunaan sistem pasaran dalam menentukan gaji.

Jika Malaysia membenarkan kuasa pasaran untuk menentukan gaji dan sekiranya kita tidak membenarkan buruh migran yang murah untuk memasuki pasaran, maka gaji akan tinggi secara automatik.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sendiri yang sentiasa melobi kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak pekerja asing kerana ia seiring dengan dasar buruh murah mereka.

Oleh kerana manipulasi kuasa pasaran ini, pihak majikan tidak harus merungut apabila gaji minimum ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Tarikh 1 Mei ini yang diberitahu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai tarikh pelaksanaan peningkatan gaji minimum tidak patut ditangguhkan lagi.

Sepatutnya tarikh sebenar untuk pelaksanaannya adalah pada Januari 2021 atau Februari lalu kerana peningkatan gaji minimum yang terakhir dibuat adalah pada Januari 2019 dengan kadar RM1,100 di seluruh negara dan Februari 2020 dengan kadar RM1,200 hanya untuk 57 bandar utama.

Oleh sebab penangguhan dalam pelaksanaan gaji minimum, pekerja-pekerja telah hilang gaji tambahan yang perlu dibayar sebanyak 28 bulan. Siapa yang akan memberi pampasan kepada mereka?

Dalam pada itu, peningkatan gaji minimum RM1,500 bukannya satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya gaji minimum ditetapkan pada paras RM1,800.

SUBSIDI

Bank Negara Malaysia menganggarkan gaji cukup sara hidup di Kuala Lumpur pada 2016 ialah RM2,700 sebulan untuk seorang yang bujang, RM4,500 bagi sepasang suami isteri dan RM6,500 untuk sebuah keluarga dengan dua anak. Jumlah itu adalah lebih tinggi sekarang.

Jika menggunakan formula pengiraan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara yang mengambil kira pendapatan garis kemiskinan, indeks harga pengguna (CPI), pertumbuhan pengeluaran dan kadar pengangguran, maka gaji minimum di negara ini sepatutnya RM2,017.

Di peringkat serantau, kuasa beli pekerja Malaysia dengan gaji minimum adalah paling rendah dalam kalangan negara-negara ASEAN kerana kadar gaji minimum berbanding pendapatan per kapita bulanan untuk pekerja-pekerja di negara ini hanya 12.62 peratus.

Kita menyeru peningkatan gaji minimum dilaksana sekarang juga dan kerajaan patut membantu syarikat yang tidak mampu berbuat demikian.

Strategi yang seharusnya dilaksanakan adalah dengan mengenakan cukai terhadap individu dan syarikat yang sangat kaya.

Subsidi silang daripada kerajaan dengan menggunakan dana yang diambil daripada golongan mampu harus diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan.

Terdapat banyak cara untuk kerajaan membantu segelintir PKS yang menghadapi kesusahan untuk membayar gaji minimum.

Dicadangkan kerajaan meningkatkan cukai korporat secara beransur-ansur dengan kadar satu peratus setahun sehingga mencapai 30 peratus. – UTUSAN

S. ARUTCHELVAN, Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!