fbpx

22 Mei 2022, 4:08 pm

  TERKINI

Kita kurang sukarelawan pemerhati burung pemangsa

MALAYSIA kaya dengan kepelbagaian biologi dan keunikan laluan hijrah burung pemangsa sepatutnya mempunyai ramai peminat burung dan boleh menjadi sumber pendapatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELAIN menjadi acara penting dalam ekopelancongan, aktiviti atau pesta memerhati burung pemangsa (Raptor Watch) boleh meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang pemuliharaan dan habitat burung berkenaan.

Dalam Februari dan Mac, burung pemangsa ini terbang pulang ke kawasan pembiakan di utara hemisfera. Burung-burung ini berhijrah ke selatan apabila kawasan pembiakan mengalami musim sejuk. Semenanjung khususnya kawasan Tanjung Tuan, Melaka merupakan laluan penting. Lokasi ini disenaraikan sebagai tapak penting untuk burung pemangsa oleh BirdLife International, National Geography Society dan Hawkmountain. Mereka yang berada di sekitar pantai Port Dickson juga berpeluang untuk melihat penghijrahan burung pemangsa yang unik ini.

Penghijrahan burung-burung pemangsa melintasi Selat Melaka juga menjadi tarikan pemerhati burung dunia. Tepat sekali apabila kerajaan Negeri Sembilan dan Melaka menjadikan aktiviti memerhati burung-burung pemangsa ini sebagai sebahagian daripada aktiviti ekopelancongan tahunan.

Setiap tahun pelancong akan datang ke Tanjung Tuan untuk melihat burung pemangsa yang berhijrah ke Jepun, China, Mongolia dan Siberia sejauh lebih 10,000 kilometer untuk membiak. Laluan yang dilalui oleh burung pemangsa ini merupakan salah satu laluan burung hijrah penting di dunia yang dikenali sebagai East Asian-Australasian Flyway (EAAF). EAAF adalah salah satu daripada lapan laluan utama di dunia.

Lima spesies utama yang boleh dilihat di Tanjung Tuan ialah Helang Lebah Asia (Oriental Honey buzzard, Pernis ptilorhyncus), Helang Baza Hitam (Black Baza, Aviceda leuphotes), Helang Sewah China (Chinese Goshawk, Accipiter soloensis), Helang Sewah Jepun (Japanese Sparrowhalk, Accipiter gularis), dan Helang Kepala Kelabu (Grey-faced Buzzard, Butastur indicus).

Pesta ini bukanlah setakat peristiwa setahun sekali tetapi memerlukan perhatian sepanjang tahun. Banyak perkara yang perlu dilakukan misalnya menjaga habitat dan keperluan burung semasa penghijrahan, menjalankan aktiviti pendidikan atau kesedaran awam dalam kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam sementara penyelidikan berkaitan burung pemangsa penglibatan pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan berkaitan.

Mungkin pihak berkuasa tempatan boleh mengendalikan semua aktiviti berkenaan secara sistematik bagi memastikan kelestarian aktiviti ini di Tanjung Tuan. Pihak korporat tempatan boleh menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk aktiviti pendidikan dan penyelidikan.

Setiap tahun MNS melatih generasi baharu peminat burung pemangsa mengenal pasti burung dan cara mengira secara sistematik. Mengira kumpulan burung yang sedang terbang dari jarak jauh menggunakan teropong bukan suatu yang mudah kerana memerlukan latihan, minat dan kesabaran yang tinggi. Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan muda meminati alam semula jadi termasuk burung pemangsa.

Antara kaedah mengecam spesies burung pemangsa ialah dengan melihat kepada sifat morfologi seperti bentuk sayap dan nisbah dengan saiz burung, kedudukan sayap semasa meluncur, bentuk dan saiz ekor, saiz kepala serta nisbah dengan saiz dan bentuk badan, corak sayap dan ekor serta beberapa lagi ciri-ciri yang unik bagi spesies tertentu. Kemahiran ini sangat penting dalam mengecam spesies burung dengan tepat.

PROFESOR DR. AHMAD ISMAIL, Presiden MNS

POPULAR

KOSMO! TERKINI