Kekal nama dalam bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Kekal nama dalam bahasa Inggeris

LANGKAH menukar nama Butterworth akan menyebabkan pangkalan TUDM di situ perlu diberi nama baharu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) kerana berjaya menukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka.

Walaupun begitu, saya berpendapat bagi nama bandar dan daerah seperti Port Dickson, Georgetown, Butterworth, Cameron Highlands dan lain-lain lagi sebaiknya dikekalkan seperti sedia ada.

Bukan mahu mengagungkan warisan kolonial tetapi nama-nama ini sudah sebati dengan identiti Malaysia serta telah lama tercatat dalam peta pelancongan tempatan serta dunia.

Kadang-kadang rasa nostalgia pula terutama bagi yang pernah berkunjung ke tempat ini. Jika orang luar pun rasa ada nilai sentimental apatah lagi bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di sana.

Port Dickson yang lazimnya disebut sebagai PD popular sebagai destinasi pantai peranginan dan Bandar Tentera Darat. Dalam filem P. Ramlee berjudul Sarjan Hassan, Port Dickson merupakan lokasi penting dalam jalan cerita.

Sama juga dengan pusat peranginan tanah tinggi negara iaitu Cameron Highlands yang sudah kedengaran biasa di telinga kita dengan nama berkenaan. Asal usul namanya juga ada sejarah tersendiri iaitu sempena William Cameron yang meneroka tanah tinggi ini ketika dalam ekspedisi pemetaan sempadan negeri di Banjaran Titiwangsa.

Butterworth yang terletak di Seberang Perai pula merupakan sebuah bandar pelabuhan dan hab pengangkutan di Pulau Pinang.

Bagi mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) atau tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara bandar Ekspres Rakyat yang pernah popular suatu masa dahulu, Stesen Kereta Api Butterworth akan menjadi lokasi persinggahan sebelum menaiki feri untuk menyeberang ke pulau.

Papan tanda Butterworth juga pernah terpapar di platform Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok, Thailand bagi panduan pelancong asing yang hendak ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta api rentas negara.

Menukar nama bandar dan daerah terutama yang merupakan lokasi pelancongan utama negara tidak sama kesannya dengan menukar nama bukit atau jalan.

Banyak kos perlu dikeluarkan untuk menukar papan tanda arah, batu penunjuk jarak, maklumat dalam risalah dan direktori pelancongan, papan tanda stesen pengangkutan awam, alamat surat-menyurat dan aplikasi peta dalam telefon pintar.

Ini akan turut melibatkan penukaran nama institusi yang menggunakan nama sama sebagai contoh Politeknik Port Dickson, Kolej Vokasional Butterworth, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, sekadar menyebut beberapa contoh.

Penukaran nama juga mungkin boleh mengelirukan pelancong asing yang baru pertama kali berkunjung ke negara ini. Saya juga pernah terbaca bahawa perkara ini boleh memberi kesan kepada status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perubahan ejaan nama dalam Bahasa Inggeris sebuah lagi Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Melaka daripada Malacca tidak begitu ketara kerana ejaan dan bunyinya hampir sama.

Tidak perlu dirisaukan dengan beberapa nama warisan kolonial yang masih tinggal kerana kita masih mempunyai banyak lagi nama tempatan yang unik dan indah didengar seperti Kuching, Jugra, Seri Menanti, Kota Bharu dan sudah tentunya Melaka Bandaraya Bersejarah.

Bagi memartabatkan bahasa kebangsaaan, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan disaran bertegas untuk tidak lagi membenarkan penggunaan nama-nama asing dalam setiap projek jalan baharu, taman perumahan dan bangunan kediaman seperti yang banyak berlaku ketika ini.

M. FAISAL, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya