NEW DELHI: Lebih 100 sekolah di ibu kota New Delhi terpaksa ditutup dan ribuan pelajar dipindahkan selepas ancaman bom palsu dihantar melalui emel kepada mereka.
Pihak berkuasa berkata, tiada bahan letupan ditemui semasa pencarian di setiap sekolah dan pihaknya sudah mengesan asal usul emel ancaman tersebut dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kementerian Dalam Negeri dan Polis Delhi turut meminta orang ramai untuk bertenang selepas sekolah di ibu negara dan kawasan pinggir bandar yang menerima ancaman bom dikepung ketika operasi mencari dijalankan.
Perkhidmatan Bomba di bandar itu berkata, pihaknya menghantar jentera bomba ke sekolah berkenaan tetapi tidak menemui apa-apa semasa pencarian mereka.
“Skuad anjing, dan unit pemusnah bom juga sedang bekerja keras. Saya ingin memberi jaminan kepada penduduk New Delhi bahawa polis bersedia sepenuhnya dan kami akan cuba menghalang sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku,” kata Leftenan Gabenor Delhi, Vinai Kumar Saxena
Saxena menerusi laman X menyiarkan mesej meminta ibu bapa supaya tidak panik dan bekerjasama dengan pentadbiran dalam memastikan keselamatan sekolah serta pelajar.
Seorang pegawai kanan Polis Delhi memberitahu pemberita, beberapa hospital di ibu negara juga turut menerima surat ancaman serupa semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Delhi, Suman Nalwa berkata, individu yang bertanggungjawab melakukan ancaman tersebut seolah-olah cuba mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
“Tiada apa-apa yang tidak diingini ditemui setakat ini,” katanya kepada agensi berita ANI.
Menteri Pendidikan Delhi, Atishi berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan polis dan sekolah bagi memantau keadaan tersebut.










