Sakit hati di JPN Kota Bharu

Sakit hati di JPN Kota Bharu

STAF Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) di Kota Bharu didakwa menyusahkan bayaran levi bagi pelajar bukan wargenegara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 20 Februari lalu, saya ke pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) di Kota Bharu untuk membayar levi menyambung persekolahan bagi dua beradik anak jagaan bukan warganegara.

Kelulusan untuk persekolahan diluluskan pada 2019 dengan bayaran levi RM240 seorang. Sebaik sahaja diluluskan dan bayaran dibuat pada 2019, pegawai JPN berkenaan dengan sopan mengingatkan saya supaya salinan resit dan surat kelulusan bersekolah disimpan untuk kegunaan membayar levi pada tahun seterusnya bagi meneruskan persekolahan.

Bagi tahun kedua dan ketiga tanpa apa-apa isu di JPN sama, saya berjaya membuat bayaran dengan hanya mengemukakan salinan seperti diberitahu pegawai tersebut. Namun tahun ini, saya diminta mengemukakan semua dokumen seperti surat beranak dan lain-lain yang berkaitan sehingga saya dibawa berjumpa pegawai di jabatan berkenaan.

Puas saya menjelaskan pada dua tahun sebelum ini hanya dengan resit levi yang pernah saya buat bayaran dan dokumen kebenaran bersekolah boleh menyelesaikan urusan bayaran levi untuk persekolahan.

Pertikaian saya di sini, segala maklumat sudah ada dalam rekod tetapi mereka sendiri ‘malas’ untuk menyemak dengan alasan ramai pelajar bukan warganegara selain alasan maklumat pelajar itu sudah lama.

Saya terus memohon budi bicara untuk membayar levi seperti biasa dengan dokumen yang dibawa. Namun, mengecewakan apabila pegawai itu memberi alasan dikhuatiri timbul masalah di kemudian hari.

Saya meminta penjelasan lanjut, namun mereka gagal memberi jawapan sekadar berkata, “adalah.”

Jika benar ia syarat baharu, paling kurang tampallah notis sebesar boleh di pejabat itu agar ia tidak mengeruhkan keadaan.

Selama ini, Kementerian Pendidikan menguarkan-uarkan untuk mempermudahkan urusan pendidikan pelajar warganegara dan bukan warganegara. Namun daripada pengalaman tersebut, pegawai-pegawai berkenaan tersasar objektif.

Saya berharap pegawai kementerian atau paling tidak ketua JPN Kelantan tampil mencerahkan situasi ini. Saya yakin, hal bayaran levi boleh dimudahkan tetapi pegawai terbabit sengaja buat prosedur sendiri dengan menjadikan ‘mungkin timbul masalah di kemudian hari’ sebagai alasan.

Lebih ‘angkuh’ apabila seorang daripada mereka dengan selamba memberitahu, saya boleh menghubungi mana-mana pegawai perhubungan awam atau pegawai Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin untuk bertanya isu tersebut jika saya mahu.

Satu lagi, adalah menyalahi undang-undang apabila pelanggan atau orang awam disuruh meninggalkan MyKad atau lesen memandu sebelum berurusan di premis JPN tersebut. Dokumen rasmi individu lain tidak boleh dipegang pihak ketiga.

Akhir sekali, pesanan ‘istimewa’ buat pegawai-pegawai berkenaan, ketahuilah anak-anak bukan warganegara juga manusia dan mereka tidak diberi pilihan untuk memilih ibu bapa ketika dilahirkan. Berpadapadalah untuk menyusahkan orang lain kerana anda juga belum tentu sempurna.-UTUSAN

PENJAWAT AWAM BENGANG,  Kota Bharu, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya