SAUDARA PENGARANG,
SEKARANG adalah musim kering dan kemarau di Perlis. Dalam keadaan sedemikian, kelihatan debu dan habuk berterbangan di sana sini.
Kebetulan hampir keseluruhan sawah di kawasan utara Perlis sudah habis dituai. Yang tinggal hanya tunggul-tunggul jerami padi.
Kebiasaannya apabila sawah berada dalam keadaan sedemikian, pemiliknya mula membakar tunggul-tunggul jerami. Ini untuk memudahkan sawah mereka dibajak apabila tiba musim hujan bagi memulakan kembali penanaman padi.
Semasa petani asyik membakar jerami padi, ia memberi kesan tidak menyenangkan kepada penduduk.
Arang jerami padi yang dibakar berterbangan ke sana sini ditiup angin. Ada masuk ke dalam kediaman, premis perniagaan dan rumah ibadat.
Baru-baru ini, arang hasil aktiviti pembakaran tersebut begitu banyak berterbangan masuk ke dalam rumah termasuk di taman-taman perumahan.
Ada yang mendakwa arang-arang itu akibat pembakaran jerami padi oleh petani selepas tamat musim penuaian.
Namun, ada juga mendakwa arang yang banyak berterbangan baru-baru ini berpunca daripada pembakaran lalang di satu kawasan di utara Perlis.
Di sini bukan masa untuk kita mencari salah sesiapa. Apa yang amat diharapkan pada musim kering seperti sekarang adalah semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab.
Janganlah lakukan pembakaran sewenang-wenang. Jika perlu sangat jerami atau lalang hendak dibakar, carilah masa yang sesuai.
Kalau boleh, elakkan kerja-kerja pembakaran semasa angin bertiup kencang. Jika membakar semasa angin kencang akan memudahkan arang-arang pembakaran diterbangkan angin.
Sekali lagi ditegaskan, semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab. Jangan pentingkan diri sendiri.
Ambil kira juga kepentingan orang lain yang menerima padah daripada arang-arang yang berterbangan hasil kerja-kerja pembakaran itu.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis