Khurafat sekat logik akal - Utusan Malaysia

Khurafat sekat logik akal

AJARAN Islam mempunyai prinsip akidah yang sangat jelas dan tegas supaya masyarakat Islam terpelihara dan berada di landasan yang benar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Rentetan tular rakaman upacara ritual Ibrahim Mat Zin (Raja Bomoh) bersama Suliaha Abdul Hamid (Puteri Zaleha) untuk menolak musibah banjir pada 4 Januari lalu di Teluk Intan, Perak mengundang pelbagai reaksi dan persepsi negatif terhadap imej Islam.

Ibrahim sebelum ini pernah tular kerana pelbagai ritual seperti mengesan kapal terbang MH730, melindungi negara daripada serangan nuklear Korea Utara serta ‘memagar’ seluruh dunia khususnya Malaysia daripada wabak Covid-19.

Namun, amalan ritual tersebut dilihat bertentangan dengan ajaran Islam walaupun disulami bacaan ayat al-Quran, zikir, selawat dan doa.
Amalan ritual itu diharamkan oleh kerajaan negeri Perak sejak 2015 di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. Malah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang dari 17 hingga 19 September 2014 memutuskan amalan perbomohan itu bertentangan dengan hukum syarak.

Sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 9 Ogos 1996 mengeluarkan Garis Panduan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam untuk diterima pakai di peringkat negeri dan dijadikan rujukan dalam mengeluarkan fatwa berkaitan pengharaman sesuatu ajaran yang terdapat unsur khurafat.

Terdapat pelbagai impak negatif perbuatan khurafat. Pertama, boleh menyebabkan seseorang tergelincir daripada akidah sehingga boleh membawa kepada syirik. Sedangkan Islam mengajar untuk berdoa dan berharap tanpa melalui sesuatu perantaraan pun.

Kedua, boleh mencemarkan kesucian kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Islam mengajar dan mendidik supaya beribadah mengikut sunnah Nabi SAW sepenuhnya.

Ketiga, boleh mengundang kemurkaan dan bala daripada Allah SWT.

Keempat, mengakibatkan masyarakat mundur dengan khayalan yang sia-sia selain membazir masa, tenaga dan harta.

Pada masa sama, ia menyekat kebebasan akal untuk berfikir secara logik dan sistematik.

Justeru, kerjasama dan sinergi pelbagai pihak berautoriti seperti Jakim, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mendidik dan melaksanakan penguatkuasaan penting demi menjaga kemuliaan dan kesucian ajaran Islam di negara ini.

DR. AZRI BHARI, Shah Alam. Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya