Jangan terjerumus dengan wayang, dalang - Utusan Malaysia

Jangan terjerumus dengan wayang, dalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM beberapa minggu kebelakangan ini, Ukraine telah menjadi tumpuan media antarabangsa di seluruh dunia dan Malaysia pastinya tidak terkecuali.

Adalah penting semasa membuat liputan berita untuk berpegang kepada nilai teras kewartawanan dengan mengemukakan pandangan dan pendapat secara sama rata dan saksama terhadap sesuatu cerita.

Itulah penanda aras yang membeza secara nyata antara kewartawanan dan propaganda.

Ketika saya membaca artikel terjemahan yang diterbitkan pada 27 Januari lalu di Utusan Malaysia berjudul Ukraine hanya alat boneka AS, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah persembahan wayang kulit.

Nampaknya, penulis dari stesen penyiaran, CNN yang menulis artikel itu sangat taksub dengan boneka-boneka tersebut sehingga dia benar-benar menjadi salah satu boneka di bawah kendalian seorang dalang yang sangat mahir dan berpengalaman.

Mengulangi propaganda yang selalu digunakan Kremlin tanpa cuba untuk menyemak kepastian fakta bukanlah cara terbaik untuk memaklumkan kepada pembaca.

Melainkan, sudah tentu, tujuan sebenar adalah untuk memanipulasi dan mengelirukan.

Kita harus ingat bahawa sepanjang lebih 1,500 tahun sejarah Ukraine, ia tidak pernah menyerang mana-mana negeri atau negara.

Sebaliknya, tanah di negara kami yang subur dan orang-orang kami yang penyayang telah banyak mengalami, kadangkala tindakan ugutan, pencerobohan, pendudukan, keganasan dan juga pembunuhan beramai-ramai yang berpanjangan.

Ukraine jelas bukan ancaman kepada sesiapa. Malah, pada 1994, ia yang baru bangkit semula telah menjadi negara pertama di dunia yang secara sukarela melupuskan senjata peluru berpandu balistik antara benua dan kepala peledak nuklear yang tinggal dalam simpanan Ukraine selepas perpecahan Soviet Union.

Ironinya, 20 tahun kemudian, salah seorang penandatangan Memorandum Budapest – dokumen yang dirundingkan dan dipersetujui secara menyeluruh yang sepatutnya menjamin kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine oleh kuasa nuklear – menjadi penyerang.

Tindakan terkini pencerobohan oleh tentera Rusia terhadap Ukraine bermula pada 2014 dengan pendudukan haram Krimea.

Sama ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun ahli masyarakat antarabangsa yang sah, termasuk Malaysia, tidak pernah mengiktiraf annexation (pengilhakan) haram itu.

Tidak ada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Krimea, sebaliknya terdapat puluhan ribu tentera Armada Laut Hitam Rusia yang sebenarnya memulakan pencerobohan.

Jangan silap. Ukraine atau NATO tidak bertanggungjawab untuk ketegangan sekarang.

Ukraine terpaksa mempertahankan negaranya kerana peperangan hibrid yang berterusan selama lapan tahun yang merangkumi pendudukan hampir tujuh peratus tanah kami, serangan siber yang canggih, maklumat salah, serta percubaan terang-terangan subversif politik dan ekonomi.

Dunia melihat dan secara beransur-ansur memahami punca dan motif di sebalik permainan kotor Rusia yang secara sistematik menyasarkan lawan politik, media bebas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan negara-negara berdaulat.

Apa yang sedang berlaku sekarang di dalam dan di sekitar Ukraine adalah lebih besar dari negara itu, malah Eropah juga.

Ini adalah mengenai kesucian undang-undang antarabangsa, sebagai tonggak susunan dunia.

Sebaik sahaja ia dihapuskan, seluruh paradigma kewujudan bersama secara aman di peringkat global akan tergoncang.

Itulah sebabnya dalam beberapa minggu kebelakangan ini kita menyaksikan demonstrasi sokongan dan solidariti dengan Ukraine oleh masyarakat antarabangsa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Jadi, janganlah kita terjerumus ke dalam perangkap dalang yang jika dilihat lebih dekat mempunyai ciri-ciri jelas Baba Yaga (ahli sihir tua) yang mengerikan, bukannya wayang kulit asli.

OLEXANDER NECHYTAYLO, Duta Besar Ukraine ke Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya